APA LOGIKNYA TAHAN PEMBANTU SAYA, SOAL SIVARASA

AHLI Parlimen Subang Sivarasa Rasiah hari ini mempersoalkan di mana logiknya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menahan tiga pembantu, termasuk anak saudara lelakinya berhubung hal imigresen.

Joshua Kalaiselvan, Nico Kam dan setiausaha politik Sivarasa, Naveen Kularasa semalam ditahan kerana meminta RM20,000 daripada seorang ahli perniagaan bagi “penyelesaian kes dengan imigresen”.

Sivarasa berkata tuduhan terhadap pembantu dan anak saudaranya “tidak masuk akal” kerana mereka tiada kuasa ke atas ketua pengarah Imigresen.

Ahli Parlimen dua penggal itu berkata, beliau mengadakan sidang akhbar pada Ogos dan menulis kepada ketua pengarah Imigresen berkenaan amalan rasuah dalam Jabatan Imigresen melibatkan seorang warga Bangladesh bernama Monomiah Siddikur Rahman.

Monomiah didakwa mendapat permit kerja kategori profesional bagi warga Bangladesh menggunakan dokumen palsu. Pekerja-pekerja dengan visa kategori profesional ini diambil bekerja sebagai tukang bersih dan pengemas bilik hotel-hotel empat dan lima bintang di Kuala Lumpur.

Maklumat itu diberikan kepada Sivarasa oleh seorang rakyat Malaysia bernama “Mohd Tahir Fazal” yang turut hadir di sidang akhbar pada 9 Ogos. Pada 24 Ogos, Sivarasa telah menulis surat kepada ketua pengarah Imigresen.

“Macamana pengadu boleh kata pembantu saya boleh tutup sebelah mata mengenai hal itu sedangkan saya sudah adakan sidang akhbar di Parlimen dan menulis secara rasmi kepada ketua pengarah Imigresen mengenainya? Kakitangan saya tidak ada kuasa mengawal ketua pengarah,” kata Sivarasa dalam satu kenyataan hari ini.

Memetik sumber, The StarOnline melaporkan ketiga-tiga disiasat kerana meminta RM20,000 bagi menyelesaikan kes dengan Jabatan Imigresen.

Sivarasa berkata: “Jika mana-mana kakitangan saya minta rasuah, yang mana ianya tidak benar, mengapa perlu beri rasuah kerana mereka tiada kuasa mengawal apa-apa saja yang Jabatan Imigresen boleh atau tidak boleh lakukan tentang dakwaan yang saya utarakan pada Ogos. Dakwaan rasuah ini langsung tidak masuk akal.”

The Star juga melaporkan “ketiga-tiga suspek disiasat untuk menyelesaikan kes dengan Imigresen iaitu pengadu telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen tanpa mematuhi prosedur yang betul. Ini dimaklumi ketiga-tiga suspek yang meminta sogokan dari syarikat itu untuk menutup mata akan hal itu”.

Sivarasa berkata pembantunya diperangkap yang didalangi Monomiah dan Tahir, dan ia atas “perintah seseorang untuk tujuan politik”.

Ketiga-tiga pembantu Sivarasa itu ditahan reman empat hari sehingga Isnin bagi membantu siasatan SPRM. Perintah reman dikeluarkan majistret Maizatul Munirah Abd Rahman tengahari tadi di Balai Polis Dang Wangi.

Hadir sama di balai polis adalah Sivarasa dan peguamnya, Eric Paulsen.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.