APA KATA SULTAN? MAHFUZ CADANG DARJAH KEBESARAN PEMIMPIN KLEPTOKRAT DITARIK

DI 312 penempatan Felda seluruh negara, jurang generasi yang akan menentukan siapakah akan berjaya menakluk kumpulan undi Melayu luar bandar paling penting pada pilihan raya umum akan datang sudah mula terbuka.

Di satu sisi adalah generasi pertama peneroka yang berusia atas 65 tahun. Aktivis Pakatan Harapan (PH) percaya hampir 80% daripada mereka akan mengundi Barisan Nasional (BN).

Di belah lagi satu adalah anak-anak dan cucu-cicit mereka yang dikenali sebagai generasi kedua dan ketiga Felda. PH percaya mereka ada peluang lebih cerah untuk meraih undi kelompok lebih muda ini.

Apa yang melegakan Zakaria Hamid, seorang pemimpin PH dan generasi kedua Felda adalah jumlah generasi kedua dan ketiga lebih ramai berbanding generasi pertama, nisbahnya dua kepada satu.

Situasi ini serta masalah pengurusan Felda membuatkan PH optimis yang ia boleh menerobos masuk ke dalam kubu kuat BN yang sejak 13 pilihan raya umum lalu menjadi simpanan tetap undi parti pemerintah.

Perubahan sentiment itu juga dirasai oleh peneroka seperti Yahya Saat yang berusia sekitar 70-an berasal dari Felda Kampung Awah, sebuah penempatan jaraknya 30 minit memandu dari Temerloh, Pahang.

Yahya berkata peneroka seusianya selama berdekad lamanya memastikan undi orang Felda pergi kepada gabungan pemerintah BN.

Tetapi, dia kini mengakui yang generasi anak-anaknya jauh berbeza.

“Sama saja dari dulu. Apa jadi dalam politik orang di sini tetap hidup dengan rutin sama.

“Ada bantuan kerajaan, ada juga promosi daripada pembangkang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

BN adalah kerajaan, kerajaan adalah BN

Hutang menimbun disebabkan skim penanaman semula dan bayaran tuaiantidak konsisten sejak beberapa tahun lalu turut mencetuskan kemarahan lebih daripada 110,000 peneroka dan keluarga mereka.

Daripada 54 kerusi Parlimen, kebanyakkannya di Pahang dan Johor mempunyai penempatan Felda dan undi mereka boleh membantu BN menang kerusi tersebut.

Peneroka Felda seramai 1.2 juta juga secara kolektifnya membentuk lima peratus pengundi negara ini.

Menyedari kemarahan itu, PH menggunakan kelemahan skim Felda itu dan kehadiran peneroka di ceramah terutama yang menampilkan Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad selaku penceramah utama sangat menggalakkan.

Bersatu-salah sebuah parti gabungan PH- akan bertanding di 27 kerusi yang mempunyai penempatan Felda besar. PKR akan bertanding di 13, Amanah (8) dan DAP pula akan bertanding di lima kerusi.

BN telah cuba meredakan kemarahan peneroka dengan tawaran bonus khas dan program pelunasan pinjaman.

Pentadbiran Najib Razak juga melancarkan inisiatif Felda 2.0 untuk menambah baik keusahawanan digital, eko-pelancongan dan infrastruktur peneroka.

Perhatian terhadap peneroka mengukuhkan lagi sokongan kepada BN dalam kalangan peneroka generasi pertama yang mempunyai pandangan menyamakan parti pemerintah dengan kerajaan.

Ramai orang lama masih mempunyai perasaan terhutang budi kerana terpilih menyertai skim pembangunan tanah negara itu apabila diberikan 10 ekar tanah untuk penanaman sama ada kelapa sawit atau getah dan empat ekar lagi untuk membina rumah mereka.

Skim itu yang dimulakan pada 1958 oleh Perdana Menteri Abdul Razak Hussein telah menerima pengiktirafan antarabangsa kerana berjaya mengurangkan kemiskinan luar bandar.

– https://www.themalaysianinsight.com

.