APA KATA PERKASA, NGO PRO-MELAYU: TEMPELAK MAHATHIR, NAJIB KATA SEDIA TAMBAH JUMLAH SJKC

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini ditempelak kerana gagal memberi kelulusan kepada pembinaan lebih banyak Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) semasa pentadbirannya.

Bercakap di hadapan lebih 15,000 komuniti Cina dalam Perhimpunan Patriotik Masyarakat Cina di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata ia berbeza dengan beliau.

“Saya jadi shou xiang (perdana menteri) hanya untuk tempoh sembilan tahun, tetapi sudah luluskan peruntukan lebih banyak berbanding pemimpin yang menerajui negara selama 22 tahun,” kata Najib disambut tepukan gemuruh.

Justeru, kata Najib, atas keprihatinan beliau kerajaan sedia meluluskan pembinaan lebih banyak SJKC di kawasan pertumbuhan baharu.

Namun, kata Najib, kelulusan itu harus disertai dengan ikrar komuniti kaum Cina untuk mempertingkatkan penguasaan Bahasa Melayu.

“Saya akan jadikan permintaan ini kenyataan (membina lebih banyak SJKC di kawasan pertumbuhan baharu).

“Satu yang saya minta adalah teguhkan kemahiran penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan apabila jumlah SJKC ditambah,” kata Najib.

Najib berkata, prasyarat itu bagi memastikan penguasaan Bahasa Melayu (BM) dalam kalangan masyarakat Cina tidak ketinggalan, khususnya ketika mengendalikan urusan rasmi.

“Dulu, bila saya jadi menteri besar Pahang, ada wakil rakyat dari masyarakat Cina yang tidak mampu menguasai kemahiran bertutur dalam BM.

“Janganlah guna perkataan ‘gua’ dan ‘lu’ dalam urusan rasmi, sehingga tersasul menyebut Ke Bawah ‘Luli’ Tuanku.

“Kemahiran berkomunikasi adalah ramuan perpaduan di Malaysia, justeru sahut saranan ini seiring kesediaan kerajaan menambah pembinaan SJKC,” kata Najib.

Tambah Najib yang juga pengerusi BN, pertimbangan itu akan diperhalusi pada mesyuarat antara parti komponen dalam tempoh terdekat.

– M’kini

.