APA KATA PAS MULAKAN DENGAN EXCO SELANGOR HANTAR SURAT BERHENTI LEBIH DULU?

Dewan Ulama PAS dilaporkan telah bersetuju untuk membawa usul agar parti itu memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR dalam Muktamar Pas kali ini.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Usul dewan tersebut,  Khairuddin Aman Razali berkata, oleh kerana menyedari terlalu banyak tahaluf siyasi dilanggar oleh PKR, mereka bersetuju dengan usul memutuskan hubungan itu.

Bagaimanapun, tambahnya, usul tersebut masih tertakluk kepada keputusan Majlis Syura Ulama untuk membuat keputusan muktamad.

Dengan bernada sedikit cakap besar, Khairuddin juga berkata, “Kalau kita buka (undi) setuju (untuk putus), ramai akan setuju”.

Hmmmm…..

Dalam waktu yang sama, ramai perwakilan Dewan Ulama juga meluahkan pandangan dengan nada yang sama.

Menyoroti perkembangan itu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, Pas perlu membuat keputusan muktamad tentang tahaluf siyasi dan kedudukan mereka dalam kerajaan negeri Selangor sekarang ini.

“Saya sentiasa memantau perjalanan Muktamar PAS memandangkan ia berkait dengan strategi PKR dan Pakatan Harapan dalam PRU14 akan datang.

“Tambahan pula, sebarang keputusan PAS mengenai tahaluf siyasi dengan PKR akan ada kesan kepada penyertaan PAS dalam Kerajaan Selangor.

“Saya juga ambil maklum usul yang diluluskan tanpa bahas oleh Dewan Ulama PAS dan tidak terkejut jika usul yang serupa akan terus diluluskan sepanjang berlangsungnya Muktamar PAS,” ujar beliau lagi.

Maka, apa perlu Pas buat sekarang?

Bawa usul, bahas, kutuk sana kutuk sini, kemudian setuju putus hubungan tapi akhirnya keputusan muktamad masih di tangan Majlis Syura.

Berapa lama selepas itu Majlis Syura mahu buat keputusan?

Tidakkah ia terlalu lambat dan banyak membuang masa?

Kenapa tidak Pas sendiri bertindak lebih tegas dan menampakkan keseriusan untuk berpisah dengan langkah permulaan tiga Exco Pas dalam kerajaan Negeri Selangor menghantar surat perletakan jawatan mereka terlebih dahulu?

Jika mahu dan benar-benar serius, hari ini pun boleh dihantar surat perletakan jawatan itu atau buat dahulu pengumuman melalui sidang akhbar sempena muktamar yang sedang berlangsung di Kedah?

Putus, putus, putus…tapi apa tindakan konkritnya?

Susah sangatkah membuat surat berhenti itu atau sebenarnya masih mengharap tahaluf siyasi berpanjangan lagi?

– ShahbudinHusin

.