APA JADI PADA RM23.73 JUTA UNTUK ALOR SETAR?

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah diminta untuk mendedahkan apa yang berlaku kepada peruntukan Persekutuan berjumlah RM23.73 juta untuk Alor Setar.

Anggota Parlimen Alor Setar dari PKR, Gooi Hsiao Leung mendakwa, sejumlah RM23.73 juta telah diagihkan kepada kawasan Parlimennya dari bulan Mei 2013 hingga September 2016.

Jumlah itu adalah peruntukan khas perdana menteri yang diagih-agihkan kepada Alor Setar menerusi pejabat pembangunan Persekutuan di Kedah, ujarnya.

“Saya cabar Ahmad Bashah untuk menafikan secara terbuka bahawa beliau tidak mengetahui apa-apa peruntukan seperti di atas atau RM23.73 juta telah diagihkan kepada Alor Setar,” kata Gooi kepada Malaysiakini.

Beliau melahirkan rasa kesal jika dana untuk masyarakat, tanpa mengira status atau kaum di Alor Setar telah digunakan untuk memberi manfaat kepada penyokong Umno dan para kroni.
“Daripada bermain politik murah, Ahmad Bashah perlu tampil bersih dan mendedahkan sepenuhnya peruntukan khas sebanyak RM23.73 juta yang sepatutnya diberikan kepada Alor Setar.

“Rakyat Kedah berhak untuk tahu bagaimana wang mereka dibelanjakan,” tambah Gooi.

– M’kini

.