APA FAEDAHNYA DIUNGKIT SEJARAH SILAM TUN MAHATHIR?

Sejak kebelakangan ini seperti wujud suatu keghairahan yang makin menjadi-jadi untuk mengungkit semula sejarah silam kepimpinan Tun Mahathir Mohamad sewaktu menjadi Perdana Menteri dahulu dengan dua topik utama yang kerap menjadi perhatian iaitu penahanan di bawah ISA dan kes liwat melibatkan Anwar Ibrahim.
Jika UMNO atau mana-mana pihak yang pro kepada Najib Razak menimbulkannya tentu saja ia mudah difahami maksud serta tujuannya, tetapi malangnya perkara tersebut dibangkitkan  oleh mereka dalam Pakatan Harapan sendiri atau di majlis-majlis  yang dianjurkannya.
Apa tujuan dan faedahnya?
Bukan tidak boleh menyoal atau membangkitkannya, tetapi episod itu sepatutnya sudah lama berlalu. Malah, sebelum ini, Tun Mahathir sendiri sudah acap kali bercakap atau menjelaskan mengenainya, termasuk memberi pengakuan sedia dipersalahkan dan menerima hukuman jika ia dianggap suatu kesalahan yang pernah dilakukannya.
Namun seperti yang kerapkali diulang oleh beliau, bahkan konsistennya tidak pernah berubah, menjatuhkan Najib adalah keutamaan dan perlu dilakukan terlebih dahulu.
Selepas semua itu selesai,  buatlah apa saja demi untuk menyelamatkan negara ini. Berulang kali juga Tun Mahathir mengingatkan, selagi Najib tidak disingkirkan, tiada apa perubahan pun mampu dilakukan selepas ini.
Demikianlah tingginya komitmen Tun Mahathir demi perubahan, menyelamatkan negara serta menyediakan persekitaran yang lebih baik untuk generasi akan datang.
Jika sebelum ini semua orang bercakap mengenai Najib yang dianggap merosakkan negara dan perlunya beliau dijatuhkan, apakah dengan mengungkitkan sejarah silam kepimpinan Tun Mahathir itu dapat lebih membantu usaha tersebut?
Sebaliknya, tidakkah dengan berbuat demikian akan memberi keselesaan secara tidak langsung kepada Najib?
Kita seharusnya sedar, oleh kerana Anwar masih di penjara, Tun Mahathir adalah satu-satunya tokoh yang paling sesuai untuk mengetuai pakatan parti-parti pembangkang ketika ini serta dianggap mampu menumbangkan Najib?
Adakah sesiapa tokoh lain selain beliau?
Oleh itu, selain Tun Mahathir sendiri sudah diterima sebagai Pengerusi Pakatan Harapan, fokus seharusnya ditumpukan seratus-seratus untuk melemahkan dan seterusnya menumbangkan Najib, UMNO serta BN. Ia tidak harus berganjak walau sedikit pun.
Tidak perlu diungkit atau diperbesar-besarkan lagi sebarang perkara silam mengenai kepimpinan Tun Mahathir yang dahulu itu.
Tidak cukupkah lagi pengakuan beliau yang sedia dipersalahkan dan dihadapkan kepada sebarang penyiasatan selepas Najib dijatuhkan nanti?
Lebih dari itu, dalam kes ISA, sebahagian mereka yang pernah ditahan dahulu seperti Lim Kit Siang, Mat Sabu, Azmin Ali dan ramai lagi sudah pun bersama dalam Pakatan Harapan ketika ini.
Mereka juga telah memberi pengakuan untuk tidak menjadikan episod itu sebagai halangan yang berpanjangan sehingga boleh menjejaskan usaha menumbangkan Najib dan menyelamatkan Malaysia, malah menyifatkan kebobrokan era Najib lebih besar serta mendesak untuk diakhiri berbanding menoleh ke belakang.
Dalam kes liwat Anwar pula, tidakkah Tun Mahathir bukan saja sudah berbaik-baik dengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu, malah mempunyai hubungan lebih erat dengan Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Nurul Izzah dan seluruh keluarga Anwar sekarang ini.
Jadi, untuk apa diungkit dan diperbesarkan lagi semua sejarah masa lalu itu?
Semua pihak dalam Pakatan Harapan, tidak kira siapa, berjawatan besar dan kecil atau pendokong saja, jika benar yang ingin melihat Najib, UMNO dan BN dapat ditumbangkan, jangan sesekali lari daripada fokus dan terlalu kerap menoleh ke belakang.
Pelari pecut terhandal sekali pun tidak mungkin dapat memenangi apa-apa pingat jika asyik menoleh ke belakang ketika berlari.

Musuh Pakatan Harapan dan seluruh rakyat ialah masa depan negara yang lebih menakutkan jika Najib, UMNO dan BN kekal berkuasa,  bukannya sejarah silam Tun Mahathir.

– http://shahbudindotcom.blogspot.com

.