APA CERITA NI KJ? BILA NAK JAWAB LIMA SOALAN INI?

Dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lalu, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bukan saja menunjukkan pengampuannya yang luar biasa kepada Najib Razak melalui serangan kepada Tun Mahathir Mohamad dengan mengubahsuai sajak “Melayu Mudah Lupa”, malah juga mempersenda dan mengejek Mukhriz Mahathir dengan beberapa kali memanggilnya sebagai “Boboi”.

“Saya telah menang Ketua Pemuda, tetapi saya dimasukkan ke dalam peti simpanan.

“Namun Boboi yang tewas telah dilantik sebagai Timbalan Menteri, tetapi saya tidak kecewa, saya istiqaamah bersama Presiden.

“Saya juga dituduh berwajah jahat berbanding “muka sedih”  Boboi,” kata Khairy Jamaluddin lagi yang juga lebih popular dengan panggilan KJ.

Bagaimanapun, sekarang ini Mukhriz pula mendedahkan bahawa KJ sebenarnya pernah menghantar surat perletakan jawatan kepada Najib kerana tidak bersetuju dengan penjelasan mengenai 1MDB.

Namun, tambah Mukhriz, beliau difahamkan KJ kemudian menarik balik surat itu setelah dipujuk oleh Ahmad Zahid Hamidi.

Mukhriz turut mendedahkan bagaimana beliau sendiri pergi ke rumah KJ pada jam 11.30 malam, tahun lepas setelah dijemput oleh seorang kenalan dan pertemuan sulit  dengan Menteri Belia dan Sukan turut ada saksi yang hadir bagi bertujuan mencari jalan untuk menyelamatkan masa depan UMNO berikutan akar umbi yang dikesan semakin menolak kepimpinan Najib.

Maka, apa cerita ni KJ? Betulkan pendedahan yang dibuat oleh Mukhriz itu?

Pertama, betulkah beliau tidak setuju dengan penjelasan Najib mengenai 1MDB sebelum ini?

Kedua, benarkah beliau pernah menghantar surat perletakan jawatan kepada Najib?

Ketiga, benarkah Zahid Hamidi memujuknya agar menarik balik surat perletakan jawatan itu dan apa “pujukan” daripada seorang Timbalan Perdana Menteri yang membuatkannya setuju menarik balik itu?

Keempat, benarkah pernah ada pertemuan sulit antara beliau dengan Mukhriz pada jam 11.30 malam di rumahnya sepertimana yang didedahkan oleh bekas Menteri Kedah itu?

Kelima, apakah faktor sebenar yang menyebabkan beliau sekarang ini seolah-olah bersetuju dengan 1MDB, malah sedia menjadi pengampu tersohor kepada Najib?

Hanya lima soalan saja KJ, bila nak jawab ni?

http://shahbudindotcom.blogspot.com/2016/12/apa-cerita-ni-kj-bila-nak-jawab-lima.html

.