‘APA BEZA CAJ JALAN RAYA & VEP?’

JOHOR BAHRU – PKR Johor mahu kerajaan memberi penjelasan berhubung caj jalan raya (RC) yang akan dikenakan ke atas kenderaan persendirian dengan nombor pendaftaran asing yang memasuki negara melalui Johor mulai 1 November ini.

Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, ia bagi menjawab kekeliruan kerana sebelum ini kerajaan berura-ura mengenakan caj permit masuk kenderaan (VEP) tetapi tiba-tiba melaksanakan RC dengan kadar RM20 yang kebetulan sama dengan caj VEP dicadangkan.

“Kini VEP diketepikan untuk diganti dengan RC. Saya minta kerajaan persekutuan dan Kerajaan Johor untuk segera membalas pertanyaan saya dan menjelaskan kekeliruan.

“Beliau (Menteri Pengangkutan) menegaskan VEP tidak boleh kelirukan dengan RC. Namun, saya dan rakyat Johor sudah pasti sedang keliru sekarang,” katanya dalam satu kenyataan media di sini semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa semua kenderaan persendirian dengan nombor pendaftaran asing yang memasuki Malaysia melalui Johor akan dikenakan bayaran RC sebanyak RM20 berkuat kuasa 1 November ini.

Jimmy Puah turut mengemukakan tiga soalan kepada kerajaan persekutuan berhubung perkara berkenaan dalam kenyataannya.

“Adakah ini bermaksud selain RC, akan ada caj tambahan VEP dikenakan ke atas kenderaan bernombor pendaftaran asing, dan jika benar bila dan berapa jumlahnya?

“Apakah perbezaan sebenar antara RC dan VEP? Mengapa kerajaan selama ini secara konsisten memaklumkan kepada rakyat bahawa VEP akan dikuatkuasakan hujung tahun ini, tetapi secara tiba-tiba ia diketepikan dan RC pula akan dilaksanakan dengan caj RM20 yang kebetulan sama dengan caj VEP yang dicadangkan?

“Kerajaan negeri juga sebelum ini telah diberitahu layak untuk menerima 25 peratus atau RM5 daripada kutipan VEP. Adakah ia masih sah dan boleh dikuatkuasakan memandangkan kerajaan dilihat beralih istilah kepada RC?,” katanya.

Beliau turut menegaskan, Kerajaan Johor berhak menerima sebahagian hasil daripada caj yang dikutip kerajaan persekutuan dan wang itu boleh digunakan untuk manfaat rakyat Johor.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan semua kenderaan persendirian dengan nombor pendaftaran asing memasuki Malaysia melalui Johor akan dikenakan bayaran RC sebanyak RM20, bermula 1 November ini.

Sistem RC akan diaktifkan di dua laluan masuk darat di Johor iaitu di Tambak Johor serta Link Kedua dan bayaran berkenaan dikutip setiap kali kenderaan asing memasuki negara ini melalui sistem kad ‘Touch n’Go’.

SINAR HARIAN

.