ANWAR: TUKAR PENGURUSAN TIDAK AKAN SELESAI MASALAH FELDA

SHAH ALAM – Kemelut Felda tidak akan selesai dengan menukar pengurusan, demikian menurut bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Amanat dari Penjara Sungai Buloh itu disampaikan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut Anwar, perubahan yang perlu dilakukan oleh Felda adalah dengan merubah dasar sebenar Felda dengan menangani masalah kemiskinan, mengangkat darjat dan membela nasib peneroka.

“Apa yang diamalkan Felda hanyalah kaedah lama dengan mengugut dan menakutkan peneroka. Peneroka generasi pertama telah membanting tulang menjarah hutan belantara dan merupakan tenaga utama mengangkat Felda sebagai gergasi di dunia korporat,” katanya dalam amanat yang disampaikan Wan Azizah di Konvensyen Warga Felda di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, hari ini.
Menurut Anwar, selagi matlamat itu belum tercapai, projek mega seperti stadium dan gedung mewah yang menghirup hasil peneroka mestilah dihentikan.

Selain itu, Anwar juga mendakwa, wujud situasi di mana keuntungan sebenar Felda tidak dihebahkan kepada peneroka.

“Maka adalah menjadi hak peneroka dan keluarga mereka untuk dilayani dan diberikan hak yang setimpal dengan pengorbanan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan agar amalan boros, pelaburan sia-sia atau merompak harta peneroka, dihentikan.

Tambahnya, keuntungan harus dinikmati bersama oleh keluarga Felda dan bukannya orang atasan atau tokoh politik pilihan kerajaan.

Baru-baru ini, Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyifatkan tindakan Pakatan Harapan menganjurkan konvensyen hari ini hanya bermotifkan agenda politik yang ingin menghasut rakyat.

– SH

.