ANWAR TIDAK PERNAH RANCANG KUDETA 2008, KATA TIAN CHUA

Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah merancang rampasan kuasa melalui percubaan mendapatkan wakil rakyat BN untuk lompat parti pada 16 September 2008, kata Naib Presiden PKR Tian Chua hari ini.

Sebaliknya, jangkaan lompat parti itu berpunca daripada sejumlah anggota parlimen BN yang ingin memberontak terhadap Tun Abdullah Badawi, perdana menteri ketika itu.

“Anggota parlimen (MP) BN yang menghubungi Anwar ketika itu mengakui keadaan negara akan semakin buruk jika tiada perubahan di bawah kepimpinan sedia ada. Perbincangan antara sejumlah MP BN dan Pakatan Rakyat bertujuan untuk mengubah perdana menteri dan kerajaan.

“Kedua-dua pihak memilih Anwar sebagai (calon) perdana menteri,” katanya kepada Malaysiakini.

Tian Chua mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan, yang mendakwa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak layak mengkritik sebarang rampasan kuasa terhadap kerajaan Selangor kerana terlibat dalam usaha merampas kerajaan persekutuan pada 16 September 2008.

Kenyataan itu selepas menteri besar Selangor itu berkata sebarang usaha untuk menjatuhkan pentadbirannya melalui rampasan kuasa oleh BN adalah tidak demokratik.

Namun Abdul Rahman pada masa sama berkata, BN tiada sebab untuk berbuat demikian kerana penggal pemerintahan sudah hampir berakhir.

Selepas ‘tsunami politik’ pada pilihan raya umum 2008, Anwar mendakwa pembangkang akan membentuk kerajaan persekutuan tanggal 16 September, namun ia tidak terlaksana.

Tian Chua yang menjadi Ketua Penerangan PKR pada ketika itu berkata, perbincangan antara Anwar dan MP BN tidak “mengenepikan mandat rakyat”, maka ia selari dengan proses demokrasi.

“Pengundi dengan jelas menolak pimpinan lemah Abdullah apabila BN gagal mendapatkan majoriti dua per tiga (di parlimen) dan hilang lima negeri.

“Anwar mahu bertanding dalam pilihan raya kecil agar kepimpinannya mendapat mandat rakyat,” katanya.

– M’kini

.