ANWAR TETAP SALAHKAN NOR YAKCOP PUNCA SKANDAL FOREX

Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap dengan kenyataan yang diberikan kepada pasukan petugas khas bagi menyiasat skandal tukaran wang asing (Forex) bahawa Tan Sri Nor Mohamed Yakcop menjadi punca kerugian Bank Negara sekitar 1990-an.

Bekas ketua pembangkang itu mendakwa kerajaan mahu kenyataan beliau digunakan bagi menentang bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini merupakan sekutu pembangkang.

Mahathir, yang menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) adalah pengkritik lantang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung pengurusan negara terutama melibatkan isu 1MDB.

“Saya konsisten dengan kenyatan saya dalam menggesa peletakan jawatan Nor bagi kerugian Forex kemudiannya,” kata Anwar kepada pemberita selepas perbicaraan kes qazaf membabitkan beliau hari.

Bagaimanapun Anwar berkata Nor telah dilantik sebagai menteri kewangan kedua dalam kabinet bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Apabila Nor dilantik (ketika zaman saya), syaratnya adalah dia tidak seharusnya terlibat dalam institusi kewangan. Tetapi beliau dilantik sebagai menteri kewangan kedua (semasa Pak Lah). Mereka (BN dan Umno) tidak berpuas hati dengan komen saya,” katanya ketika diiringi pegawai penjara dan polis.

“Mereka mahu menggunakan saya untuk menyerang Mahathir, tetapi saya berkata kamu tidak boleh menggunakan ini untuk menyerang Mahathir semata-mata,” katanya.

Anwar sebelum ini mengadu bahawa Nor diberikan jawatan dalam Khazanah Nasional ketika pentadbiran Najib.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dua hari lepas, Anwar berkata Nor telah dihalang daripada mengendalikan kewangan negara.

Pemimpin de-facto PKR itu diminta mengulas kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak bahawa beliau mengubah ceritanya mengenai skandal forex.

“Bila dia bersama Dr Mahathir Mohamad, dia kata satu perkara.
“Bila dia menentang Mahathir, dia kata perkara lain. Dan sekarang bila dia sekali lagi bersama Mahathir, Anwar buat cerita baru,” kata Salleh dalam satu catatan blog.

Anwar berkata beliau memberitahu pasukan petugas forex bahawa gabenor BNM ketika itu, Allahyarham Tun Jaafar Hussein pada tahun 1993 berkata “Nor Mohamed Yakcop telah memberikannya laporan tidak tepat dan menerima peletakan jawatan Nor Mohamed kerana dia adalah pegawai yang bertanggungjawab”.

“Jaafar sendiri mengambil tanggungjawab sepenuhnya walaupun saya mengakui integriti dan kejujuran beliau bahawa beliau tidak diberi penjelasan penuh oleh Nor Mohamed,” katanya.

– M’kini

.