ANWAR TEMPELAK KENYATAAN IRWAN

SHAH ALAM – Bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak kenyataan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah mengenai keadaan semasa ekonomi negara.

Anwar berkata, kenyataan Mohd Irwan yang mengatakan ekonomi negara kini berada dalam keadaan kukuh adalah satu bentuk pendustaan, sekaligus menafikan kisah sebenar yang dihadapi jutaan rakyat Malaysia.

Ini kerana, jelas Anwar rakyat di Malaysia kini kian terhimpit akibat daripada pelbagai kenaikkan harga makanan, pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) termasuk terkesan dengan kejatuhan nilai ringgit.

“Di sebalik semua ini, pegawai atasan kerajaan mengatakan semuanya adalah teratur dan diuruskan dengan baik,” kata Anwar dalam satu kenyataanya hari ini.

Sebelum ini, Mohd Irwan dalam satu kenyataan menegaskan bahawa keadaan ekonomi kini kukuh, sebaliknya yang mengatakan ekonomi teruk hanyalah persepsi yang dibina pembangkang.

Anwar berkata, kerajaan sepatutnya membantu memulihkan keadaan semasa bukannya bersikap menafikan perkara realiti.

“Kerajaan BN terus membuat penafian fakta yang sebenar.Justeru, kerajaan perlu berhenti memberi jaminan kosong mengenai ekonomi dan mengambil tindakan segera untuk memulihkan kehidupan dan harapan rakyat, ujar beliau lagi.

– Sinar Harian

.