ANWAR PUJI MARIA, KECAM PENAHANANNYA

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam penahanan Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah.

Dalam satu kenyataan malam tadi, Anwar berkata sekiranya seorang pemimpin masyarakat madani seperti Maria boleh ditahan di bawah Akta Kesalahan Khas (Langkah-Langkah Keselamatan) 2012 (Sosma), maka menurutnya, tiada seorang rakyat Malaysia pun yang selamat daripada terkena nasib yang sama.

Bekas Ketua Pembangkang itu berkata, beliau memahami pengalaman pahit Maria, berdasarkan pengalaman peribadinya sendiri sebagai bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Dari pengalaman saya sendiri saya tahu betapa teruk dan pahitnya apa yang dihadapi Maria kini. Sewaktu penahanan saya di bawah ISA di Batu Cantonment, di mana saya percaya Maria sedang ditahan, tidur saya telah diganggu, saya dikenakan soalsiasat yang tidak tentu waktunya dan amat mengelirukan, makanan dan keadaan kebersihan yang kurang memuaskan.

“Lampu terang dibiar terpasang dalam bilik tahanan siang dan malam,” kata Anwar, yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun selepas disabitkan terhadap pertuduhan liwat kedua.

Beliau berkata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mesti mengambil tanggungjawab ke atas penahanan Maria dan menambah bahawa keengganan Zahid mengambil tindakan sejak Maria ditahan, tidak boleh dimaafkan.

Sambil mengucap tahniah kepada Maria dan BERSIH berhubung BERSIH5 Sabtu lalu, Anwar berkata ia berlangsung ketika wujudnya ancaman dan ugutan sebelum perhimpunan.

“Saya amat berbangga dengan apa yang telah dicapai rakyat Malaysia pada 19 November 2016.

“Ia merupakan satu paparan perpaduan dan niat yang utuh, yang disuarakan secara aman dan cukup bermaruah,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara, Ketua Polis Negara (KPN) Khalid Abu Bakar mendakwa penangkapan Maria dan penahanannya tidak ada kena mengena dengan politik atau perhimpunan Sabtu lepas.

Sebaliknya, kata beliau, Maria sedang disiasat di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana didakwa terbabit dalam aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen yang didakwa berdasarkan “dokumen-dokumen” yang ditemui di pejabat BERSIH dalam serbuan Jumaat lepas.

Ketua Polis Negara juga mengesahkan siasatan sedang dijalankan di bawah Sosma, yang membolehkan polis untuk menahan seseorang tanpa bicara sehingga selama 28 hari.

MKINI

.