ANWAR: PERSEPSI NEGATIF, 1MDB SEBABKAN RINGGIT LEMAH

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaitkan keadaan ringgit yang lemah dengan persepsi negatif terhadap pengurusan ekonomi negara.

“Ia diketahui sebab utama persepsi negatif ini adalah pinjaman besar-besaran oleh kerajaan BN di bawah Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Abdul Razak serta ketidakupayaan untuk menangani skandal 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan Anwar yang kini sedang menjalani hukuman penjara dikeluarkan melalui partinya petang ini.

Anwar berkata, kerajaan perlu berhenti menafikan keadaan ekonomi semasa.

“Majoriti rakyat dibebani kenaikan harga barang keperluan. Kenaikan harga petrol sebanyak 20 sen hanya akan memburukkan lagi keadaan.

“Ringgit lemah yang berhubung secara langsung dengan persepsi negatif terhadap pengurusan ekonomi menyebabkan harga barangan untuk rakyat semakin buruk,” katanya.

Rabu lepas, ringgit susut kepada RM4.50 berbanding dolar AS, yang paling rendah sejak krisis kewangan Asia pada tahun 1998. Sejak itu, ia pulih sedikit kepada RM4.46 berbanding dolar AS.

Ucap takziah

Dalam notanya dari penjara, Anwar turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dan rakyat di negeri itu.

“Saya mengenali Adenan untuk waktu yang lama. Dia sentiasa lemah lembut dalam urusannya dengan saya dan tidak pernah secara kasar atau bersifat peribadi seperti pemimpin BN dan Umno yang lain.

“Walaupun dipilih sebagai ketua menteri Sarawak dari PBB/BN, dan beragama Islam dan Bumiputera, beliau kekal komited kepada visi inklusif politik Sarawak yang mendukung aspirasi Dayak, Cina dan masyarakat lain.

“Sarawak telah kehilangan kepimpinan beliau. Semoga Allah memberkati rohnya,” katanya.
Adenan, yang sebelum ini mengalami masalah jantung, meninggal dunia pada Rabu lalu.

Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana tuduhan liwat, yang didakwanya bermotifkan politik.

Beliau telah menjalani hukuman di penjara Sungai Buloh sejak Februari 2015. Sekiranya berkelakuan baik, beliau boleh dibebaskan seawal tahun depan.

– M’kini

.