ANWAR MASIH RELEVAN JADI PM

SHAH ALAM – Hari ini genap dua tahun Datuk Seri Anwar Ibrahim menjalani hukuman penjara.

Namun, penyokong beliau tidak pernah berpaling malah menganggap Anwar merupakan tokoh paling layak bergelar Perdana Menteri.

Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Malaysia memerlukan pemimpin seperti Anwar.

“Walaupun beliau ditahan di sebalik tirai besi, namun semangatnya tidak pernah padam, kata-katanya masih penuh bermakna, dan pemikirannya terus relevan sehingga kini.

“Melihat kemelut negara yang ditadbir oleh BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak ini, ia sepatutnya memberi kesedaran bahawa kita memerlukan seorang pimpinan yang bukan sahaja berjiwa rakyat, tetapi bijak dan adil.

“Tidak syak lagi Anwar adalah calon Perdana Menteri terbaik sekiranya Pakatan Harapan menang,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Jelasnya,  satu cara untuk memastikan pembebasan Anwar adalah dengan menewaskan Najib dan kerajaan BN di dalam pilihanraya akan datang.

“Cukuplah negara ini digadai oleh Najib untuk kesenangan dan kepentingan kroni dan keluarga.

“Anwar Ibrahim mempunyai ketokohan serta pengalaman yang terbaik untuk memulihkan negara ini. Peluang terbaik untuk kita bebaskan Anwar ialah dengan memastikan Umno-BN tewas dalam PRU14 nanti.

– Sinar Harian

.