ANWAR MASIH BANDUAN, KATA TIMBALAN MENTERI

KEHIDUPAN Anwar Ibrahim berada dibawah kawalan Jabatan Penjara kerana masih berstatus banduan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed.

Justeru katanya, isu Dr Mahathir dihalang melawat ketua umum Pakatan Harapan yang sedang menjalani rawatan di Hospital tidak seharusnya timbul.

“Itu Jabatan Penjara (punya arahan). Mana boleh macam itu, kita tak boleh bagilah semua banduan hendak jumpa sesiapa pun.

“Seorang banduan bukan orang bebas. Hidup dia (Anwar) dikawal oleh Jabatan Penjara.

“Orang lain pun tidak dapat hendak jumpa sesiapa kecuali keluarga,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight yang mengesahkan larangan tersebut datang dari Jabatan Penjara.

Nur Jazlan mengulas mengenai halangan Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad melawat Anwar selepas permohonan ditolak Jabatan Penjara.

Anak perempuan Anwar, Nurul Izzah turut mempersoalkan tindakan pilih kasih kerana Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz pernah dibenarkan melawat bapanya tahun lalu.

“Bagaimanapun ada beberapa individu seperti Menteri Kabinet, Nazri Aziz yang dibenarkan. Tidak konsisten. Bagaimanapun, kami tertakluk kepada arahan orang atas,” katanyanya ketika ditemui di Hospital Rehabilitasi di Cheras petang tadi.

Bagaimanapun, menurut Nur Jazlan lawatan Nazri adalah merupakan wakil daripada menteri kabinet dan keputusan tertakluk pada budi bicara Jabatan Penjara.

“(Lawatan Nazri Aziz) Itu diberi kebenaran hendak melawat. Itu kuasa Jabatan Penjaralah hendak tentukan siapa boleh dan tidak boleh melawat. Kan hari itu Nazri beritahu dia wakil menteri kabinet.

“Ia tertakluk juga pada budi bicara ketua pengarah Penjara yang menguasai hidup banduan,” kata ahli Parlimen Pulai itu.

The Malaysian Insight kini dalam usaha mendapatkan penjelasan Jabatan Penjara mengenai larangan tersebut.

Nur Jazlan dalam pada itu menafikan dakwaan larangan tersebut berpunca dari kementeriannya.

“Tiadalah. Bukti ada arahan (dari KDN)?” katanya lagi.

Lawatan ini sepatutnya menjadi lawatan pertama Dr Mahathir kepada ketua umum PKR itu selepas beliau dipilih menjadi calon perdana menteri PH sekiranya pakatan pembangkang itu menang pilihan raya akan datang.

Sebelum ini, Anwar menerima kunjungan Perdana Menteri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan seorang menteri Kabinet Nazri Aziz pada November lalu.

Anwar menjalani pembedahan bagi memulihkan kecederaan yang dialaminyakerana terlibat dalam kemalangan kenderaan Jabatan Penjara yang dinaikinya pada September lalu.

– https://www.themalaysianinsight.com

.