ANWAR MAHU NOR MOHAMED YAKCOP DIPECAT

BEKAS ketua pembangkang, Anwar Ibrahim yang memberi keterangan sebagai saksi keenam dalam prosiding pendengaran Suruhanjaya Siasatan Diraja hari ini memberitahu beliau mahu memecat pembantu gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Nor Mohamed Yakcop kerana melangkaui batasnya dalam dagangan forex.

Anwar yang merupakan menteri kewangan ketika itu memebritahu bahawa Nor Mohamed bukan saja melangkaui batasnya, malah gagal memberikan laporan tepat mengenai kerugian ditanggung BNM melalui dagangan forex.

“Penjelasan akhir (oleh Jaffar) adalah tepat kerana ia mengesahkan yang Nor Mohamed melangkaui mandat yang diberikan kepadanya.

“Nor Mohamed tidak memberikan laporan yang tepat kepadanya (Jaffar).

“Saya arahkan Nor Mohamed dipecat, kalau boleh pada jam 4 petang (semasa perjumpaan),” kata Anwar, merujuk kepada perbincangannya dengan gabenor BNM ketika itu, Jaffar Hussein pada 1994.

Tambah Anwar, beliau akan melaksanakan pemecatan sekiranya Nor Mohamed enggan meletak jawatan. Nor Mohamed meletak jawatan pada April1994.

Anwar juga mengkritik testimoni Nor Mohamed pada prosiding RCI semalam apabila berkata beliau menganggap kerugian forex itu sebagai satu pengajaran yang membantu negara ketika menghadapi krisis kewangan Asia .

“Penegasannya tak masuk akal. Anda mesti bertanggungjawab (atas apa yang berlaku),” kata Anwar ketika disoal oleh panel RCI, Saw Choo Boon hari ini.

Dalam keterangannya semalam, Nor Mohamed Yakcop mengambil tanggungjawab ke atas kerugian forex dan mengaku bertanggungjawab bagi dagangan forex pada 1986 hingga 1993 , sebelum meletakkan jawatan.

Nor Mohamed juga memberitahu panel RCI yang beliau tidak pernah berbincang dengan Anwar dan Dr Mahathir berkenaan urusniaga forex antara 1986 dan 1993.

–¬†https://www.themalaysianinsight.com/

.