Anwar mahu HARAPAN, BERSATU berunding dengan PAS

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau setuju supaya rundingan dilakukan antara Pakatan Harapan (HARAPAN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS bagi mengukuhkan pembangkang di negara ini.

Malah, beliau berkata, perbincangan bersama Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari ini juga menjurus kepada peningkatan usaha kerjasama antara BERSATU dan HARAPAN.

“Ya, ya kita setuju ada rundingan dengan PAS.

“Saya alu-alukan kehadiran dia (Muhyiddin) dan kita akan tingkatkan kerjasama dan kita minta PKR dan Pakatan Harapan berbincang dengan dia untuk adakan kerjasama.

“Kita bincang usaha tingkatkan kerjasama bersama Pakatan Harapan dan BERSATU dan supaya dapat berunding dengan semua parti-parti pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri perbicaraan kes fitnahnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Selain itu, ketika ditanya sama ada PAS akan dimasukkan dalam ‘pakatan pembangkang baru’ berkenaan, Anwar berkata rundingan perlu dilakukan terlebih dahulu.

“Runding dulu kemudian kita tengok persetujuan bersama,” katanya.