Anwar kirim salam pada Hadi, ulangi gesaan kerjasama

Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pembangkang, termasuk PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan parti-parti dalam Pakatan Harapan membincangkan pembentukan sebuah gabungan yang mantap.

Bercakap selepas pendengaran kes qazaf beliau di Mahkamah Rayuan Syariah di Kuala Lumpur, Anwar berkata semua pihak mesti bersedia ke arah itu.

“Kena ada kesediaan untuk berunding.

“Itu permulaannya,” kata bekas ketua pembangkang yang sedang dipenjarakan kerana kes liwat itu.

Anwar semalam berkata beliau bersetuju rundingan dibuat antara HARAPAN, BERSATU dan PAS bagi mengukuhkan pembangkang.

Ditanya sama ada PAS akan dimasukkan dalam ‘pakatan pembangkang baru’, Anwar berkata ia bergantung kepada rundingan dan persetujuan bersama.

Beliau juga mengambil kesempatan mengirimkan salam dan doa buat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang baru sahaja keluar selepas mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

“Saya juga kirim salam pada Tok Guru Hadi dan doa untuk dia…,” katanya.

Hadi dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada 1 Oktober lalu.

Setiausaha sulit anggota parlimen Marang, Zaihan Mohd Daud berkata Hadi dimasukkan ke IJN untuk rawatan susulan biasa yang dijadualkan sebelum ini tertangguh kerana jadual padat, selain keletihan.

– M’kini

.