ANWAR GAGAL CABAR PENJARA

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam permohonannya untuk mencabar Penjara Sungai Buloh yang tidak membenarkannya bersentuhan dengan ahli keluarganya ketika lawatan di penjara.

Hakim Nik Hasmat Nik Mohamed membuat keputusan itu atas alasan mahkamah tidak boleh mencampuri proses membuat keputusan yang dibuat oleh pihak penjara.

Nik Hasmat berkata keputusan pihak penjara yang tidak membenarkan sentuhan fizikal ketika lawatan bukanlah sesuatu yang tidak rasional, tidak sah dan tidak mematuhi prosedur.

Mahkamah turut memerintahkan pemohon membayar kos sebanyak RM1000.

Selain Anwar, 68, turut bertindak selaku pemohon ialah isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, 63, dan empat anak perempuan mereka Nurul Izzah, 35, Nurul Nuha, 32, Nurul Ilham, 28, dan Nurul Iman, 25.

Turut memfailkan permohonan itu ialah anak Nurul Izzah, Raja Nur Safiyah Raja Ahmad Shahrir Iskandar dan Raja Ahmad Harith, masing-masing berumur sembilan dan tujuh tahun, serta anak Nurul Nuha iaitu Sulaimaan Mohamad Khairul, dan Yahya, masing-masing berumur empat dan tiga tahun.

Mereka menamakan Pengarah Penjara Sungai Buloh, Komisioner Jeneral Penjara dan Menteri Dalam Negeri selaku responden.

Mereka memohon perintah bahawa keputusan pengarah Penjara Sungai Buloh bertarikh 14 Mac lepas yang tidak membenarkan sentuhan fizikal antara Anwar dan kesemua anggota keluarga dibatalkan.

Mereka mendakwa semasa lawatan ke penjara yang dibenarkan setiap tiga minggu sekali, Anwar, yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, dipisahkan daripada mereka melalui dinding kaca dan percakapan hanya dibuat melalui telefon.

Anwar, melalui surat peguam caranya bertarikh 2 Mac lepas, telah memohon kepada ketiga-tiga responden supaya membenarkan sentuhan fizikal semasa lawatan keluarga ke penjara tetapi mendakwa pengarah Penjara Sungai Buloh menolak permohonan berkenaan melalui surat bertarikh 14 Mac.

– M’kini

.