ANWAR DITERIMA SEBAB HUBUNGAN BAIK DENGAN PEMBANGKANG

SHAH ALAM – Bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih pilihan rakyat di arena politik tanah air masa kini kerana beliau pemimpin yang mampu menjalinkan hubungan rapat antara parti pembangkang.

Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, Anwar juga antara individu yang bertanggungjawab membentuk Pakatan Rakyat dan disebabkan itu beliau masih relevan.

“Beliau diterima oleh parti dalam pembangkang dan mewujudkan hubungan baik dengan mereka, maka ini menjadikan beliau tokoh politik yang disegani oleh orang ramai,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Semalam, Sinar Harian melaporkan mengenai Kajian Survey Persepsi Rakyat Selangor 2016 dijalankan oleh Institut Darul Ehsan (IDE) yang mendapati Anwar masih relevan dalam perkembangan politik hari ini.

Sehubungan perkembangan itu, Ahmad Marthada berkata, Umno perlu bekerja lebih keras untuk menarik sokongan pengundi Melayu khususnya di bandar dan luar bandar bagi  menghadapi PRU14.

“Ini kerana saingan mendapatkan undi Melayu datang daripada Pas, PKR, Amanah, Bersatu dan Umno sendiri.

“Umno perlu ambil kira pelbagai isu yang membebani masyarakat sekarang ini seperti kenaikan harga barang, kejatuhan ringgit, kejatuhan harga barangan komoditi seperti getah dan kelapa sawit dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa UUM, Md Shukri Shuib berpendapat, kajian berkenaan amat baik kerana ia mendedahkan kepada umum persaingan politik yang dapat disandarkan berasaskan populariti umum.

Menurutnya, walaupun sokongan kepada Anwar tinggi namun dari segi teknikalnya ia ibarat ‘populariti terpenjara’ yang tidak dapat dinikmati awam kerana fizikalnya tidak dapat dihadirkan bagi tatapan umum.

“Secara teknikalnya juga, ia memudahkan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kelompok bekas Umno yang baru ini menjadi ‘penaung’ dan pengarah baru bagi hala tuju pembangkang,” katanya.

Katanya, Umno juga perlu berwaspada dengan populariti 41 peratus gandingan Mahathir dan Muhyiddin kerana ia mampu meresap masuk ke dalam masyarakat.

– Sinar Harian

.