‘Anwar calon paling layak ganti Najib’

SHAH ALAM – Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah individu paling layak menjadi perdana menteri.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Anuar Tahir berkata, negara memerlukan seorang pemimpin yang mempunyai idealisme dan yakin membawa perubahan secara menyeluruh dalam sistem pentadbiran negara.

“Sejak kebangkitan reformasi 1998, kita lihat tiada individu selain Anwar layak mengambil alih pucuk pimpinan negara.

“Tidak kisahlah berapa kali beliau dipenjara. Anwar pemimpin paling tepat menggantikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri untuk memperbetulkan negara,” katanya.

Mengulas kenyataan Tun Mahathir Mohamad membayangkan kemungkinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, Anuar berkata, ia pandangan peribadi bekas perdana menteri itu.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, hasil kajian Institut Darul Ehsan, membuktikan majoriti rakyat Selangor yakin dan terima pimpinan PKR.

“Anwar adalah pemimpin PKR dan mencerminkan keyakinan rakyat Selangor terhadap parti untuk memerintah negara,” katanya.

Beliau berkata, parti pembangkang harus bekerjasama menjatuhkan Najib.

“Dalam negara demokrasi, kita menerima suara majoriti siapa menjadi perdana menteri,” katanya.

– Sinar Garian

.