Anwar bantu saya dapatkan berjuta-juta, kata veteran Umno

Seorang pemimpin veteran Umno hari ini mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membantunya mendapatkan berjuta-juta daripada pinjaman bank, ketika beliau menjadi timbalan perdana menteri dan menteri kewangan.

ADUN Lenggeng, Datuk Ishak Ismail berkata ini adalah sebahagian daripada pembiayaan yang ditawarkan oleh Anwar kepadanya dalam usaha memancingnya bersama dalam gerakan menentang perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dia (Anwar) memberitahu kepada pihak yang menyediakan kewangan itu, ini kawan aku.

“Projek saya di Melaka, dengan pertolongan Anwar, kelulusan kewangan itu cepat. Jadi saya guna la untuk tujuan politik,” kata Ishak memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini, apabila ditanya oleh peguam Anwar, Latheefa Koya apa yang dimaksudkan dengan ‘pembiayaan ‘.

Ditanya berapa banyak yang diperolehinya, pemimpin Umno itu menjawab: “Hoi, banyak beberapa juta”.

Bagaimanapun Ishak menafikan ini adalah rasuah dan berkata ia adalah bantuan politik.

“Ini bukan rasuah, Beri sumbangan untuk buat kerja politik. Untuk bantai orang tu pun kerja politik,” katanya.

Beliau memberi keterangan dalam saman fitnah RM100 juta yang difailkan Anwar terhadap Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Khairy sebelum ini mendakwa ucapannya terhadap Anwar tidak mempunyai konotasi seksual, sebaliknya bermaksud pemimpin pembangkang itu mempunyai kecenderungan untuk mempermainkan sekutu politiknya demi manfaat sendiri dan mengkhianati mereka. – M’kini

.