ANTARA SAIFUDDIN DENGAN NASHARUDDIN, SIAPA MAKAN DEDAK?

PKR dan DAP adalah dua daripada tiga parti yang menganggotai Pakatan Harapan. Satu lagi parti yang turut menjadi anggota Pakatan Harapan ialah Amanah.
Apabila Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution dilantik sebagai Penasihat Strategik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng daripada DAP, lidah rasmi Pas iaitu Harakahdaily menyifatkannya sebagai “dedak” untuk mengikat PKR.
Itulah dedak yang ditabur supaya individu atau pihak yang dilantik akan terikat, kata tulisan itu lagi.
Di mana logiknya lantikan itu adalah dedak yang bertujuan mengikat sedangkan PKR dan DAP sudah saling bersama, bekerjasama dan mempunyai ikatan rasmi dalam Pakatan Harapan?
Lebih dari itu, dalam kerajaan negeri Pulau Pinang sendiri, wakil PKR sudah pun diberi jawatan Timbalan Ketua Menteri dan beberapa Exco sejak 2008 lagi.
Yang demikian, apa peliknya jika seorang lagi wakil PKR diberi jawatan penting dalam kerajaan negeri?
Bandingkan pula dengan Nasharuddin Mat Isa, bekas Timbalan Presiden Pas dan masih merupakan ahli Pas yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global  sejak 2015 lagi.
Yayasan tersebut ditubuhkan oleh Najib Razak atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri daripada UMNO dan BN yang bertujuan untuk memupuk semangat kesederhaan.
Sebelum itu, jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global disandang oleh Saiffudin Abdullah, bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi setelah tewas dalam pilihanraya 2013.
Saifuddin  Abdullah melepaskan jawatan apabila membuat keputusan meninggalkan UMNO untuk menyertai PKR. Maknanya, Saifuddin sedar prasyarat memegang jawatan itu ialah sama ada ahli UMNO atau mesti menyokong Najib.
Berbeza dengan perlantikan Saifuddin oleh Lim Guan Eng dalam kerajaan negeri Pulau Pinang di mana PKR dan DAP saling mempunyai ikatan rasmi, sebaliknya perlantikan Nasharuddin oleh Najib dalam keadaan Pas dan UMNO tidak mempunyai sebarang ikatan persefahaman langsung.

Jadi, siapa sebenarnya sedang ditabur dedak bertujuan untuk mengikat?

– SH

.