ANTARA NAJIB DAN DAP, SIAPA PATUT KITA TAKUTI?

Najib Razak adalah seorang Perdana Menteri. Lebih dari itu, berdasarkan pengakuannya sendiri mengenai kemasukan RM2,600 juta ke dalam akaun peribadinya, Najib juga adalah bilionaire.
Tetapi isi ucapannya mengenai DAP dua hari lalu hanya memperlihatkan beliau seperti seorang cybertrooper saja levelnya.

“Selepas dicongak parti-parti di ‘sebelah sana’, macam mana pun DAP yang akan menguasai mereka.

“Tak mungkin PKR, AMANAH atau parti ‘bunga’ kerana kerusi mereka lebih sedikit berbanding DAP.

“Cuba bayangkan jika bumi Malaysia ini dikuasai DAP, apa implikasinya?

“Ingat boleh mengadu atau berteduh di bawah mereka? Di mana kita hendak meminta dan pada siapa hendak merayu?” kata Najib ketika berucap dalam satu majlis di Kuala Ketil, Kedah.

Sebagai Perdana Menteri, Najib seharusnya bercakap dengan hujah yang lebih tinggi daripada itu untuk menyanggah DAP. Sebagai bilionaire pula, beliau sepatutnya mampu mengupah penasihat-penasihat yang baik untuk memberinya nasihat mengenai sesuatu isu yang hendak diperkatakannya, jika pun pemikirannya sendiri tidak mampu berbuat yang lebih baik.

Berucap dengan nada menakut-nakutkan rakyat mengenai DAP sudah tidak laku lagi di era telefon pintar ini. Jika cybertrooper upahan yang berhujah demikian, ia mungkin boleh diterima kerana memang level mereka membangkitkan sentimen-sentimen sempit seperti itu tanpa mengambil kira perubahan sekeliling.

Namun, bagi seorang Perdana Menteri yang merupakan pemimpin kepada seluruh rakyat dan semua kaum, bermain dengan sentimen kaum dan menakut-nakutkan seperti itu, jelas tidak boleh diterima dan masih terperangkap dalam dunia analog.

Apa yang membuatkan rakyat perlu takut dengan DAP?

Di Pulau Pinang, DAP menguasai kerajaan negeri dan di Selangor pula, Adun DAP juga paling ramai, pernahkah terdengar sesiapa yang tertindas, tidak boleh mengadu dan tiada tempat untuk berteduh?

Ada sesiapa yang mati atau merempat sejak dua negeri tersebut tidak ditadbir BN bermula 2008 yang lalu?

Dalam waktu yang sama, bayangan Najib bahawa DAP akan menang lebih banyak kerusi dan menguasai Pakatan Harapan tidak lebih hanyalah ketakutannya semata-mata. Ia tidak mungkin akan menjadi kenyataan.

Jika tsunami Cina yang sedia ada sekarang bercampur dengan tsunami Melayu yang bakal berlaku dalam PRU 14 akan datang, PKR, Bersatu dan Amanah sebenarnya mampu menampilkan lebih banyak wakil Melayu di Parlimen berbanding DAP.

DAP hanya akan bertanding 51 daripada 222 kerusi keseluruhannya. Untuk membentuk kerajaan, Pakatan Harapan memerlukan minima kemenangan 112 kerusi.

Jika diandaikan DAP menang semua 51 kerusi yang ditandinginya sekali pun daripada 112 kerusi minima yang diperlukan untuk membentuk kerajaan, pihak yang lebih banyak kerusi tetap PKR, Bersatu dan Amanah. Ketiga-tiga parti ini adalah parti Melayu dan dikuasai Melayu.

Bagaimana pihak yang mungkin menang 51 daripada 112 kerusi boleh dianggap menguasai majoriti dan menjadi ketua?

Lagi pun, lawan DAP dalam piliharaya ialah MCA, MIC atau Gerakan. DAP tidak bertanding di kerusi Melayu atau berlawan dengan UMNO. Kalah atau menang DAP, kerusi-kerusi itu tetap diwakili oleh bukan Melayu dan ia adalah pembahagian komposisi berdasarkan kedudukan kaum di negara ini.

Di mana logiknya sesiapa harus bimbang atau takut dengan DAP?

Oleh itu, hanya seorang cybertrooper yang berlevel upahan saja sanggup bermain-main dengan sentimen menakut-nakutkan sebegitu tanpa mengambil kira dunia sebenarnya sudah banyak berubah. Seorang Perdana Menteri patut mampu menampilkan idea yang lebih baik daripada itu.

Menakut-nakutkan tentang DAP hanya umpana menakut-nakutkan orangramai tentang hantu. Hantu boleh diberi gambaran  yang bermacam-macam, tetapi wajahnya yang sebenar tetap misteri dan pelbagai.  Wajah hantu hanya muncul dalam filem atau khayalan semata-mata.

Hari ini, dengan peredaran masa, tidak ramai lagi yang takut dengan hantu, bahkan ramai yang mencari hantu dan berebut-rebut menonton filem hantu.

Begitu juga dengan DAP, ia tidak lagi ditakuti. Dengan peredaran masa di mana semakin ramai Melayu menyertai parti itu, DAP bahkan lebih disenangi berbanding dahulu.

Kalau mahu dibuat perbandingan, khususnya dari segi kepentingan dan masa depan negara, Najib sendirilah yang seharusnya rakyat lebih takuti. Sejak menjadi Perdana Menteri, melalui hubungan baiknya dengan Cina Jho Low@Eric Tan, mewujudkan 1MDB sehingga nama Malaysia masyhur di seluruh dunia dan kebelakangan ini menyerahkan pula banyak harta kepada negara China, tiada ketakutan yang lebih kita takut selain kekalnya Najib berkuasa lagi selepas PRU 14 nanti.

Tidak ada mana-mana pemimpin di dunia, hanya melalui hubungan dengan seorang individu bernama Jho Low@Eric Tan saja, seluruh dunia gempar dibuatnya.

Bukan DAP yang perlu kita takuti, tapi Najib yang sekian banyak onar, mungkin berganda lagi onarnya jika kekal berkuasa itulah yang perlu lebih menakutkan kita.

– http://shahbudindotcom.blogspot.my/

.