ANTARA MUSANG KING, JAM TANGAN TISSOT DAN SAYUR KANGKUNG

Di sebalik terkait dengan skandal 1MDB dan menjadi pemimpin yang mencatat sejarah dunia sejak zaman Nabi Adam kerana mampu meraih derma beribu-ribu juta ringgit yang disalurkan terus kepada akaun bank peribadinya serta menghadapi cabaran sengit daripada Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Tun Mahathir Mohamad, Najib Razak tetap bercita-cita untuk mencipta kejayaan gemilang dalam pilihanraya akan datang.
Sesuai dengan tarafnya yang bergelar bilionaire itu, budaya “cash is king”  untuk mengukuhkan kedudukan dan mencapai kemenangan bukan lagi perkara asing di era Najib ini.
Tanyalah Shahrir Samad, Ahmad Maslan, Nazri Aziz dan lain-lain pemimpin atau Ketua-Ketua UMNO Bahagian seluruh negara, tentu mereka tidak menafikan hakikat tersebut.
Dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, sejarah juga dicatat di mana semua perwakilan telah dihadiahkan oleh Najib dengan sebatang anak pokok durian musang king sebagai tanda kenang-kenangan.
Dengan jumlah perwakilan mencecah kira-kira 3,000 orang dan jika sepokok anak durian musang king berharga RM60, jumlah yang diperlukan untuk membiayainya mungkin boleh membina empat atau lima buah rumah PPRT untuk keluarga-keluarga miskin yang memerlukan.
Jika semua tanaman itu menjadi pula, dalam tempoh empat atau lima tahun akan datang,  meriahlah 13 rumah di setiap bahagian UMNO seluruh negara dengan buah durian itu.
Dalam waktu yang sama, di perhimpunan kali ini juga tersebar  perkhabaran bahawa selain anak pokok musang king, perwakilan juga dihadiahkan dengan seutas jam tangan jenama Tissot yang diletakkan gambar Najib di permukaannya.
Di media-media sosial terpapar dengan meluas gambar-gambar jam berkenaan.
Kalau seutas jam tangan itu berharga RM500 misalnya, bayangkanlah berapa banyak baju dan beg sekolah boleh dibeli dengannya untuk keperluan anak-anak keluarga susah dan daif di seluruh negara.
Seorang Ketua Pemuda UMNO Bahagian mengesahkan beliau memang ada menerima jam tangan tersebut.
Dengan itu, inilah buat pertama kalinya perwakilan UMNO dihadiahkan buah tangan yang boleh dikira mewah dalam Perhimpunan Agung UMNO.
Pemberian seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini kerana Perhimpunan Agung UMNO adalah sebahagian keperluan untuk mengisi perjuangan bangsa, bukannya seperti parti hari jadi atau kenduri kahwin yang semua hadirin harus diberikan “door gift” dan  “bunga telur”.
Tetapi, semuanya sudah berubah sejak UMNO dipimpin oleh Najib yang bertaraf bilionaire sekarang ini.
Namun demikian, sesuai dengan keinginan Najib yang begitu dahagakan kemenangan, dapatkah UMNO mencapai kejayaan cemerlang dalam pilihanraya akan datang hanya dengan memberikan hadiah serta buah tangan kepada perwakilan seramai 13 orang di setiap bahagian?
Apakah oleh kerana Najib memberi begitu banyak hadiah dan buah tangan, beliau hanya mengharapkan 13 orang saja di setiap bahagian untuk memenangi pilihanraya akan datang?
Bagaimana dengan Ketua-ketua cawangan, ketua-ketua sayap peringkat cawangan,  ketua-ketua peti undi dan ahli-ahli UMNO yang lain?
Apa buah tangan dan hadiah untuk mereka dalam memastikan kemenangan parti benar-benar dapat dicapai dan tidak terlepas ke tangan Tun Mahathir dan Pakatan Harapan?
Begitu juga dengan rakyat dan pengundi yang akan membuat pilihan nanti?

Cukupkah sekadar mereka menjadi penonton saja kepada semua hadiah, pemberian dan buah tangan itu, sedangkan untuk membeli sayur kangkung yang dibanggakan Najib telah turun harga dan rakyat harus berterima kasih dengannya, mereka perlu membeli sendiri biji benihnya jika ingin menanam di kawasan rumah mereka?

– http://shahbudindotcom.blogspot.fr/

.