ANTARA GUAN ENG, UNGKAPAN ROOSEVELT DAN NAZI

TIDAK wajar Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng me­ngaitkan ucapan Krismasnya kelmarin dengan ideologi dan sentimen politik DAP.
Nampaknya tiada batasan dan sempadan dalam cara berpolitik Guan Eng dan DAP. Semuanya hendak dipolitikkan.

Hanya pada ayat pertama diucapkan Selamat Menyambut Krismas manakala perkataan krismas pula digunakan sekali sahaja. Yang ada intipatinya konon Malaysia didakwa negara yang gagal.

Ini ditafsirkan Guan Eng sendiri berdasarkan prinsip ‘Empat Kebebasan” yang dirujuk daripada Presiden AS ke-32, Franklin D. Roosevelt.

Hakikatnya Guan Eng boleh menggunakan sesiapa sahaja sebagai bahan rujukan atau peluru untuk ‘menembak’ musuh politiknya.

Kalau diambil apa yang diungkapkan Roosevelt pada awal 40-an, Guan Eng harus faham bahawa kala itu dunia sedang diwarnai pelbagai elemen kengerian kemanusiaan yang ditampilkan rejim Nazi Jerman dan impak Perang Dunia Kedua. Berjuta-juta manusia ketika itu diselubungi ketakutan yang dahsyat hanya kerana daripada ras tertentu yang mahu dimusnahkan oleh Nazi pimpinan Adolf Hitler dengan kefahaman ‘super rasnya’.

Kerana itu salah satu dari empat kebebasan (the four freedoms) yang dicanangkan Roosevelt adalah bebas dari rasa takut (freedom from fear). Kebebasan itu diyakini sebagai hal yang perlu selain kebebasan berbicara, beragama dan dari kemiskinan.

Ini agar seorang manusia boleh menjalani kehidupan yang bermartabat sebagai manusia.

Kalau begitu andaian Guan Eng dengan memetik ungkapan Roosevelt yang kemudian dipandu ikut sewenang-wenangnya untuk menghentam kerajaan sedia ada, mengapa tidak dipetik sahaja ucapan-ucapan berbisa Hitler? Dan ‘dipandu’ ikut cara Guan Eng.

Jangan Guan Eng sibuk menghentam orang lain, sedang­kan perangai diri sendiri dan DAP Pulau Pinang pun muak di mata orang sekeliling.

Cuba tanya akhbar-akhbar Cina termasuk Sin Chew Daily, betulkah tindak tanduk Guan Eng terhadap mereka? Itu belum lagi melibatkan kesan terhadap kampung Melayu tradisi, kampung yang didiami orang India dan isu-isu lain membabitkan ‘CAT’.

Guan Eng jangan jadi macam Kaunselor Myanmar atau ikon demokrasi, Aung San Suu Kyi yang cakap tidak serupa bikin.

Ya, benar! dalam pidato Suu Kyi pada 1990 mengatakan bahawa rasa takut membuatkan manusia kehilangan ukuran baik dan buruk. Seorang manusia yang dilanda ketakutan, tidak akan mampu menjadi manusia yang bermartabat.

Malangnya Suu Kyi tidak lagi serupa dahulu.

Bermartabatkah Guan Eng hanya dengan menggunakan ungkapan Roosevelt yang sebenarnya memercik ke mukanya sendiri?

– UTUSAN

.