ANTARA CERITA KEJAYAAN NAJIB YANG WAJIB DIKONGSI DAN DIBANGGAI

Barangkali kita boleh bersetuju dengan saranan Ketua Penerangan UMNO, Annuar Musa yang mahu cerita-cerita kejayaan Najib Razak dalam memacu kemajuan negara dihebahkan kepada orangramai.
Katanya, jentera penerangan UMNO tidak harus “malu alah” untuk berbuat demikian, di sebalik ada percubaan untuk menenggelamkan kejayaan yang dilakar oleh Perdana Menteri selama ini.
Cerita-cerita kejayaan Najib, sebahagiannya memang luar biasa dan tidak mampu dilakukan oleh Perdana Menteri sebelumnya.
Sekadar membina lebuhraya, bangunan tinggi, MRT dan sebagainya, itu sebenarnya bukanlah luar biasa. Ia hanya biasa-biasa, malah pemimpin di Afrika pun ramai yang mampu melaksanakannya.
Sebagai bantuan ikhlas kepada jentera UMNO, di bawah ini adalah antara maklumat tambahan berkenaan cerita-cerita kejayaan luar biasa Najib yang tidak mampu dilakukan oleh pemimpin lain yang tidak harus “malu alah” dihebahkan dengan meluas kepada rakyat.
– menubuhkan 1MDB yang akhirnya menjadikan seorang rakyat Malaysia, Jho Low muncul sebagai bilionaire dengan segera.
– menjadikan dirinya sendiri juga seorang bilionaire melalui “derma”  Pak Arab sebanyak RM2,600 juta yang masuk terus ke akuan bank peribadinya.
– menjadikan anak tirinya, Riza Aziz sebagai penerbit filem segera di Hollywood dengan kemampuan menerima hadiah wang berjuta-juta, juga daripada Pak Arab, sedangkan ketika Najib menjadi Timbalan Perdana Menteri, anak tirinya itu belum lagi menjadi apa-apa.
– menjadikan isteri kesayangannya, Rosmah Mansor meriah membeli-belah di merata dunia serta bebas menggunakan jet kerajaan untuk pelbagai program sama ada di dalam dan luar negara, walhal isteri-isteri Perdana Menteri tidak mampu dibahagiakan sedemikian rupa oleh suami masing-masing.
– menjadikan Najib paling dibanggai meskipun rakyat saban hari digigit GST  kerana dalam masa yang sama kononnya mendapat BR1M sebagai balasannya. Hakikatnya jika secara purata seseorang itu membayar hanya RM5 sehari, ia sudah menjadi RM150 sebulan atau RM1800 setahun dan tanpa disedari cukai GST yang dibayar itu sebenarnya lebih tinggi berbanding BR1M berjumlah RM1200. Tetapi, masih ada berkata, yang penting asal jangan DAP memerintah kita.
Bukahkah hebat dan luar biasa kejayaan-kejayaan Najib itu?
Jika mahu disenaraikan satu persatu, banyak lagi cerita kejayaan luar biasa Najib yang kalau jentera UMNO tidak “malu alah” menceritakannya, pasti rakyat Malaysia akan sentiasa berbangga dengan kecemerlangannya dalam memimpin negara ini.
Namun, apa yang dipaparkan di atas rasanya sudah pun memadai untuk membuatkan Najib menang bergaya dalam PRU 14 akan datan nanti.

Maka, jentera UMNO janganlah segan-segan atau “malu alah” menghebahkannya mulai sekarang juga.

– http://shahbudindotcom.blogspot.my/

.