ANNUAR PERLU HADIR MESYUARAT AUDIT DALAMAN MARA 7 FEBRUARI

KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa dan beberapa individu berkaitan akan dipanggil untuk hadir pada mesyuarat audit dalaman Majlis Amanah Rakyat (Mara), 7 Februari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa.

Ahli Majlis Mara, Datuk Dr Yusof Yacob berkata, siasatan dalaman tersebut dilakukan susulan pendedahan beberapa dokumen berkaitan penajaan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Pelaburan MARA Berhad (PMB) terhadap kelab bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW).

“Kita akan panggil semua individu berkaitan, termasuk Annuar Musa supaya isu ini diselesaikan secepat mungkin,” katanya pada sidang media, di ibu pejabat Mara, di sini, Selasa.

Menurut Yusof, siasatan itu hanya akan tertumpu pada dakwaan penyalahgunaan kuasa Annuar membabitkan penajaan TRW daripada PMB dan UniKL, serta tiada kaitan dengan pembelian empat aset Mara di Melbourne, Australia.
Katanya, penjualan dan pembelian aset tersebut adalah isu berasingan serta tidak berkaitan dengan dakwaan yang dikaitkan dengan Annuar selaku Pengerusi Mara dan PMB.

“Sementara menunggu keputusan, kita biar Annuar Musa berehat dulu kerana beliau dianggap individu berkepentingan dalam isu ini, selain menghalangnya daripada memperoleh sebarang butiran penyiasatan dikendalikan audit dalaman Mara,” katanya.

– ANN

.