ANNUAR MUSA: UMNO SEBUAH PARTI YANG ‘PAYAH MATI’

JERLUN – Umno merupakan sebuah parti yang ‘payah mati’ kerana memiliki DNA dan baka tersendiri yang cukup kuat, berbeza dengan parti-parti politik lain, kata Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau memberi contoh parti Pas yang lahir daripada Umno, Parti Amanah (pecahan daripada Pas), Semangat 46 (lahir daripada Umno), DAP (pecahan daripada Parti Tindakan Rakyat Singapura) dan PKR (pecahan Umno).
Jelas Annuar, Umno pula tanpa lahir atau pun tumbuh dari ranting lain, wujud setelah 446 tahun bangsa Melayu hidup dalam suasana tidak bersatu, tiada kerajaan dan dalam suasana dijajah selama tujuh keturunan.

“Tujuh keturunan bangsa, agama dan tanah air kita tidak mempunyai tempat kebergantungan, kesedaran tujuh keturunan yang akhirnya menzahirkan pemikiran untuk kita bersatu dan menubuhkan wadah politik.

“Ini bukan sembarangan parti, bukan serpihan, bukan lahir dari rasa tidak puas hati, kalah bertanding atau kena buang, tapi lahir secara fitrah dan semula jadi, datang dari hati nurani rakyat yang tujuh keturunan tidak bergabung,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya sempena Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Umno Cawangan-Cawangan seluruh negeri Kedah di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan timbalannya Datuk Seri Mahdzir Khalid.

– Bernama

.