ANNUAR: MUHYIDDIN BOHONG, TAK PERNAH TEGUR NAJIB DALAM MT

Dakwaan kononnya bahawa bekas Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat dari jawatannya selepas menegur presidennya, Datuk Seri Najib Razak mengenai isu 1MDB adalah tidak benar, kata Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa.

Sebaliknya, Annuar berkata bahawa Muhyiddin tidak pernah sekali pun membangkitkan isu 1MDB pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno dan mendiamkan ketika isu itu pertama kali tercetus pada tahun 2015.

“Saya yang jadi saksi. Ada orang kata kerana Muhyiddin tegur Najib dalam MT, bohong. Sepanjang mesyuarat MT, Muhyiddin tak pernah bangkit isu 1MDB.

“Kala dia nak menafikan, hanya di saat akhir. Masa dia dah berkrisis, dia dah buat kelakar dengan berucap di Cheras.

“Baru dia nak buat MT nak buat justifikasi, itu pun dia masih bersikap mempertahankan,” kata Annuar merujuk kepada ucapan Muhyiddin yang dibuat di mesyuarat bahagian Umno Cheras yang mempersoalkan cara Najib mengendalikan 1MDB pada 2015.

Dua hari selepas menyampaikan ucapannya itu, Muhyiddin digugurkan sebagai timbalan perdana menteri dalam satu rombakan kabinet. Beliau kemudian dipecat dari jawatannya sebagai timbalan presiden Umno pada Julai lalu.

Annuar berkata demikian ketika menjawap soalan yang ditujukan dalam forum Umno Online yang dikendalikannya hari ini. Forum itu bertajuk “Umno – Parti untuk masa depan” dan disiarkan menerusi saluran YouTube milik parti itu.

Annuar mendakwa ketika kemuncak skandal itu – apabila Najib dituduh menerima RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya – Muhyiddin tidak menyoal Najib mengenai perkara itu dan memilih untuk berdiam diri.

“Masa itu ahli-ahli MT berasa aneh kenapa timbalan presiden tak buka mulut? Kenapa timbalan presiden tak panggil-panggil kami.

“Kalau presiden kononya buat tak betul, timbalan presiden ada pandangan berlainan, (beliau sepatutnya berkata sesuatu),” katanya.

Annuar berkata beliau juga cuba mengaturkan satu pertemuan dengan Muhyiddin untuk mendapatkan versi kejadian itu tetapi mesyuarat berkenaan tidak menjadi kenyataan.

Saya menelefon pegawai Muhyiddin untuk mengaturkan satu perjumpaan untuk saya hantar satu delegasi dan kami semua lantik MB Pahang (Datuk Seri Adnan Yakub) untuk pergi dengan Muhyiddin bincang.

“Nak dengar cerita dia apalah benda sebenarnya. Belum sempat nak atur perbincangan itu, dia pergi letupkan di Cheras.

“Maknanya secara diam, dia aturkan rancangannya untuk menjatuhkan Najib. Dalam MT dia tak bercakap,” katanya.

Najib mengekalkan bahawa RM2.6 bilion adalah sumbangan politik dari keluarga diraja Saudi dan berkata beliau telah memulangkan sebahagian besarnya. Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali juga telah membersihkannya daripada sebarang kesalahan.

– M’kini

.