ANNUAR MAHU AHLI KUKUHKAN KEKUATAN PARTI

KOTA BHARU – Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa mahu semua ahli parti itu menjadikan mesyuarat perwakilan di seluruh negara yang bermula semalam sebagai medan untuk mengukuhkan kekuatan parti itu.

Annuar berkata, beliau menggariskan tiga perkara yang perlu diberi tumpuan utama semua ahli di peringkat akar umbi bagi memastikan Umno terus kekal relevan dan memenangi PRU14 akan datang.

“Meningkatkan keutuhan ahli parti merupakan pra syarat paling penting selain memperkasakan kesetiaan kepada pucuk pimpinan, kerana apabila kita berdepan pilihan raya itu nanti, kita akan hadapi dengan keadaan saf yang sangat teratur.

“Ahli juga perlu semarakkan roh dan semangat perjuangan sebab ini sahaja ubat (menghapuskan) politik benci, politik isu, orang nak lari daripada asas kerana kekuatan Umno itu sendiri adalah kerana prinsipnya,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Ketereh yang dirasmikan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien, di sini, hari ini.

Menurutnya, beliau berharap pucuk pimpinan parti itu diterajui naib presiden dan ahli Majlis Tertinggi yang akan turun padang selepas ini dapat menyampaikan mesej dengan menekankan kepentingan strategi untuk mengatur kemenangan mental.

“Orang cuba nak kata BN itu ‘Be End’ (parti akan berkubur) dan sebagainya, itu adalah sindiran dan kita jangan terjebak kerana BN merupakan sebuah parti yang sudah melalui sejarah begitu lama, sepatutnya makin diasak semakin kita cemerlang.

“Saya percaya kita akan sama-sama terjemahkan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib (Tun Razak) kerana saya berani kata, saya duduk di bawah empat perdana menteri, inilah perdana menteri paling cemerlang dan janganlah ia ditutup dengan sindiran, fitnah, cerita kitar semula dan kita kena melawan semua ini,” katanya.

– SH

.