ANNUAR MAAFKAN PENUDUHNYA

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa berkata beliau memaafkan pihak yang membuat tuduhan ke atasnya sehingga disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kata Annuar selepas disahkan tidak akan didakwa beliau mahu melupakan insiden berkenaan dan menumpukan perhatian kepada perkara yang lebih penting.

“Sekarang lebih baik kita pandang ke hadapan dan saya juga tidak mahu memanjangkan lagi isu ini.

“Saya telah memaafkan mereka yang tersalah cakap dan membuat kenyataan menuduh saya dalam isu ini,” katanya.

Annuar yang juga anggota parlimen Ketereh berkata demikian kepada media selepas majlis penyampaian peralatan kelengkapan sekolah di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

SPRM pada akhir Jan lalu mengesahkan mereka membuka kertas siasatan untuk meneliti dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa dikaitkan dengan Annuar.

Ekoran dakwan itu Annuar juga digantung tugasnya daripada menjadi pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Jawatan itu kini diisi bekas calon menteri besar BN Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin (gambar).

Siasatan itu berhubung dakwaan mengenai isu penajaan skuad bola sepak Kelantan dalam saingan liga Malaysia.

Untuk rekod Annuar pernah menjadi presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dan pernah mengemudi skuad The Red Warriors (TRW) itu menjadi pasukan disegani.

Pada 3 Feb lalu Annuar menghabiskan masa empat jam di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk disoal siasat agensi antirasuah berkenaan.

“Apa saja yang mereka tanya, saya jawab. Jadi kini terpulang kepada mereka jika mereka mendapati ada kes atau tidak,” beliau dipetik sebagai berkata.

SPRM bertugas cepat dan cekap

Katanya, soalan ditanya menjurus mengenai perbelanjaan Kafa.

Hari ini Sinar Harian melaporkan SPRM tidak akan mendakwa Annuar berhubung isu penajaan pasukan bola sepak Kelantan.

Memetik kenyataan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, agensi itu berkata pihak pendakwa raya mendapati bukti tidak mencukupi untuk mendakwa Annuar.

“Setelah diteliti, diputuskan oleh pendakwa raya untuk tidak mendakwa beliau (Annuar).

“Ini kerana keterangan-keterangan yang diambil serta bukti yang dikumpul setakat ini tidak mencukupi untuk mendakwanya,” katanya yang dipetik akhbar itu.

Pada masa sama Annuar juga bersyukur dengan keputusan Pejabat Peguam Negara yang mendapati tiada bukti mencukupi untuk mendakwanya di mahkamah.

Kata Annuar beliau percaya isu penajaan itu dipolemikkan oleh individu tertentu namun berjaya menanganinya dengan baik.

“Sepanjang isu tersebut saya telah mengambil pendekatan sederhana dengan tidak banyak mengeluarkan kenyataan dan menyerahkan kepada pihak SPRM melakukan siasatan.

“Saya bersyukur apabila pihak SPRM sendiri mengeluarkan kenyataan bahawa saya tidak didakwa. SPRM telah membuat tugasan dalam masa yang cepat dan cekap,” katanya.

Isu tersebut mula menjadi perhatian apabila pemilik kelab JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa MARA dan UniKL mengeluarkan dana bagi menaja skuad TRW.

Bagaimanapun, Annuar menafikan kedua-dua agensi itu dipaksa menaja pasukan berkenaan, sekali gus menolak kemungkinan wujud salah guna kuasa.

Untuk rekod Tunku Ismail kini menyandang tugas sebagai presiden FAM.

– M’kini

.