ANINA MINTA POLIS SIASAT KAITAN JHO LOW, ERIC TAN

Seorang anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) membuat laporan polis ekoran laporan mendakwa ahli perniagaan kontroversi, Jho Low, menggunakan nama “Eric Tan” sebagai proksi bagi beberapa transaksi kewangan.

Kata Anina Saadudin, polis perlu menyiasat maklumat yang didedahkan dari dapatan mahkamah Singapura itu.

“Saya meminta PDRM (Polis Diraja Malaysia) menyiasat maklumat dapatan keputusan mahkamah Singapura berhubung AS$1.7 bilion wang dari 1MDB yang disalurkan ke akaun Tanore Finance di Falcon Private Bank Singapura yang mana ianya adalah sumber kepada dana berjumlah RM2.6 bilion yang telah masuk peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Ambank Malaysia,” katanya kepada media di Putrajaya hari ini.

Sebelum itu Anina membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.

Kenyataan Anina itu merujuk kepada sabitan terhadap bekas pengurus cawangan Falcon Private Bank, Jens Fred Sturzenegger, di mahkamah Singapura.

Dokumen mahkamah menyatakan Jho Low menggunakan nama “Eric Tan” sebagai proksi untuknya membuka akaun bank serta beberapa entiti korporat.

Anina juga mendakwa Jho Low memiliki dua identiti dan dua pasport Malaysia.
Atas dakwaan itu bekas pemimpin Umno bahagian berkenaan meminta meminta polis menjalankan siasatan bagaimana ia boleh berlaku.

Dalam perbicaraan di Singapura baru-baru ini Sturzenegger dilaporkan memberitahu penyiasat di negara itu, dia mengenali “Eric Tan” bukan sekadar nama samaran, sebaliknya seseorang yang wujud, kerana pernah melihat pasport individu terbabit serta butiran peribadinya semasa mahu membuka akuan di Falcon Private Bank.

– M’kini

.