ANINA: BERSAMA PAS ATAU TIDAK, AGENDA TETAP DITERUSKAN

SHAH ALAM – “Bersama Pas atau tidak, agenda Bersatu untuk menjatuhkan kerajaan pada PRU akan datang akan tetap diteruskan,” demikian tegas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu,  Anina  Saadudin.

Bagaimanapun katanya, pihaknya masih berharap kerjasama antara kedua parti itu masih akan diteruskan meskipun Bersatu kini ‘disunting’ Pakatan Harapan.

“Secara peribadi, walau apa jua keadaan sekalipun, fokus Bersatu mestilah menjurus ke arah agenda perjuangan parti.
“With or without Pas (Bersama Pas atau tidak), kita masih akan fokus untuk jatuhkan kerajaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.

Semalam, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, rundingan kerjasama politik antara Pas dan Bersatu berakhir sebaik sahaja parti yang dinaungi Tun Dr Mahathir Mohamad itu secara rasmi menyertai Pakatan Harapan.

Tambah Abdul Hadi, keputusan itu diambil berdasarkan pendirian Pas yang tidak mahu turut bekerjasama dengan parti yang ada kaitan dengan DAP dan Amanah.

Sementara itu, tambah Anina lagi, sebagai manusia biasa, pihaknya hanya mampu merancang dan hanya ALLAH yang mampu menentukan segala-galanya.

“Kita hanya mampu berusaha ke arah kebaikan. Jika kehendak ALLAH menjadikan kita tak bekerjasama, kita tak boleh tunggu lama lagi kerana PRU semakin hampir.

“Bersatu ada jenteranya sendiri untuk terus bergerak dan melangkah ke hadapan,” katanya lagi.

– SH

.