ANIFAH? AZMIN AKUI ADA PERTEMUAN SULIT DENGAN INDIVIDU ITU

SUBANG JAYA – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengakui wujudnya pertemuan  antara beliau dan seorang menteri kanan yang didakwa akan meletak jawatan.

Menurutnya, beliau tidak akan menamakan individu berkenaan kerana sebagai menghormati perbincangan sulit di antara dirinya dengan individu tersebut.

“Saya juga faham, Malaysia ini menjalankan satu sistem yang mengugut dan menekan orang yang berkenaan, sekiranya nama ini didedahkan,” katanya ketika ditemui pada program sambutan ulangtahun kelahiran Dr Syed Husin Ali yang ke 80 dan pelancaran buku, di sini, hari ini.
Semalam, menerusi akaun Twitternya, Mohamed Azmin menulis seorang menteri kanan akan meletak jawatan, namun tidak menamakan siapa individu berkenaan.

Beliau berkata, ternyata dengan hanya satu persoalan, ia telah mencetuskan situasi tegang dalam negara, terutama kepada perdana menteri.

“Apa yang kita saksikan, status di Twitter saya telah menunjukkan Perdana Menteri dalam keadaan yang tidak selesa.

“Tahap keyakinan itu terlalu rendah kerana sikap curiga di dalam jemaah menteri kabinet itu sendiri,” katanya.

“Mengapa melatah? Salah ke saya tanya soalan tu? Apakah sekarang ini tanya soalan pun tak boleh?

“Sebab itu saya biarkan begitu sahaja, dan terpulang kepada individu berkenaan. Tapi saya juga memerhati budaya takut dan menekan ada dalam kerajaan,” katanya.

– Sinar Harian

.