‘ANGKAT BAHRI SEBAGAI CALON HARAPAN PADA PRU14’

Bekas pengarah Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Bahri Mohd Zin patut diangkat sebagai calon Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam pilihan raya umum akan datang.

Abdul Aziz Bari dari DAP berkata, namun, cadangan tersebut tertakluk kepada persetujuan Bahri sendiri setelah membuat keputusan untuk bersara awal kerana rasa tidak puas hati kes SRC International tidak didakwa.

“Jika beliau sanggup, parti-parti HARAPAN harus mempertimbangkan untuk memberi kerusi kepadanya pada pilihan raya umum yang akan datang.

“Ini akan menunjukkan betapa seriusnya HARAPAN dalam memerangi rasuah,” ujar beliau dalam kenyataan.

Selasa lalu, Bahri dilapor memilih untuk bersara awal setelah berkhidmat dengan SPRM selama 30 tahun.

Bahri dilaporkan berkata peletakan jawatannya kerana kecewa dengan keengganan jabatan peguam negara membuat pendakwaan berhubung kes SRC International, anak syarikat 1MDB yang disiasat SPRM.

Terbaru, Bahri menafikan beliau pernah berjumpa atau dihubungi oleh unit media suruhanjaya itu.

Ia bercanggah dengan kenyataan media SPRM yang menyatakan suruhanjaya itu telah menghubungi Bahri dan beliau menafikan mengeluarkan kenyataan memilih bersara awal kerana kecewa dengan kes SRC International.

Malah, kata Bahri, di akhir tugasnya di BOK, mereka juga tidak pernah bercakap dengan beliau.

– M’kini

.