ANGGOTA UMNO DISARAN GUNA APLIKASI ‘MALAYSIA 4 ALL’

Semua anggota Umno disarankan mengambil inisiatif memuat naik aplikasi ‘Malaysia 4 All’ bagi membolehkan mereka mendapat maklumat tepat terutama berkaitan isu yang dibangkitkan pembangkang.

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa berkata aplikasi yang dibangunkan bersama badan bukan kerajaan (NGO) itu diharap dapat memerangi fitnah dan pembohongan yang dilemparkan pembangkang hingga mengelirukan rakyat terutama di peringkat akar umbi.

“Umno kena siap sedia selain ceramah biasa yang kita lakukan menerusi mikrofon, pendekatan ini perlu kerana zaman penyampaian dan penerimaan maklumat telah berubah dan hanya di hujung jari,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung Veteran Umno Bahagian Jerlun dan pertemuan dengan kepimpinan Umno bahagian itu di Dewan Kampung Tanjung, Padang Sera di Jerlun, hari ini.

Katanya aplikasi ini hanya boleh diakses oleh anggota Umno yang berdaftar dan akan diperluaskan kepada orang ramai selepas ini.

“Anggota Umno akan disalurkan pelbagai informasi berkaitan kerajaan dan hanya anggota Umno yang berdaftar dapat mengakses aplikasi ini dan harap-harap anggota mendapat maklumat yang tepat dalam sesuatu isu yang dimainkan pembangkang,” katanya.

Sementara itu ketika berucap, Annuar menyeru agar veteran Umno memainkan peranan membantu parti untuk membolehkan Umno dan Barisan Nasional terus berkuasa
“Saya harap selepas penerangan yang diberikan, veteran-veteran Umno kembali semangat untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

“Dengan pengalaman yang ada kepada mereka, golongan veteran ini boleh menjelaskan kejayaan-kejayaan kerajaan sejak dulu hingga sekarang walaupun berada dalam kelompok kecil masyarakat. Itu yang penting,” katanya.

-Bernama

.