Anda Kini Boleh Pilih Suara Tony Fernandes Untuk Waze

PETALING JAYA – Bayangkan anda memandu di sekitar bandar dan dipandu arah menggunakan suara Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.

Beliau merupakan figura terbaharu yang meminjamkan suara untuk Waze, aplikasi navigasi pemanduan popular.

Waze aktif berkolaborasi dengan ramai selebriti dan personaliti popular, termasuk penyanyi Malaysia, Yuna; pelakon Hollywood, Arnold Schwarzenegger sebagai Terminator dan droid C-3PO dari filem Star Wars.

Tahun lalu, syarikat itu turut berkolaborasi dengan Maxis dalam kempen keselamatan jalan raya di mana suara-suara kanak-kanak warga Malaysia digunakan dalam aplikasi berkenaan.

 


“Ramai bertanya kepada saya macam mana rasanya menjadi juruterbang AirAsia. Sekarang anda boleh merasai pengalaman seperti terbang tinggi di udara berinteraksi dengan saya sebagai pengawal trafik udara anda,” kata Fernandes.

“Dan seperti kawalan trafik udara yang sebenar, saya tidak boleh membuat sebarang janji mengenai kesesakan tetapi dengan Waze, saya boleh berjanji, kita akan membawa anda ke destinasi dengan cara yang paling cepat dan paling kurang membosankan.”

Untuk membuat pilihan suara, buka aplikasi berkenaan, pilih bahagian ‘Setting’ dan kemudian ke ‘Sound’ (Suara) dan pilih “English (UK) – Tony Fernandes”.

Waze boleh dimuat turun dari Google Play store dan Apple App Store.