ANAK TAJUDDIN: SESEORANG PERLU BERTANGGUNGJAWAB – NUR JAZLAN

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed mahu pihak yang menjemput kumpulan yang membuat kecoh di Parlimen semalam agar bertanggungjawab.

Menurut beliau, Parlimen merupakan kawasan larangan dan hanya boleh dimasuki dengan kebenaran khas.

“Saya serahkan kepada Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan untuk buat siasatan. Saya takkan komen lebih sampai siasatan dijalankan.

“Tapi seseorang kena bertanggungjawab, yang bawa pelawat itu masuk,” katanya kepada media, di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas insiden Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang diserang sekumpulan individu di perkarangan Parlimen, hari ini.

Kumpulan tersebut dipercayai mewakili Umno Bahagian Pasir Salak.

Mengulas lanjut, Nur Jazlan berkata, masih terlalu awal untuk mengaitkan kumpulan tersebut dengan mana-mana pihak atau parti politik.

“Kalau Umno Pasir Salak bertanggungjawab, kita kena tengoklah siapa yang bawa mereka. Tetapi kita tak boleh buat tuduhan sembarangan , kena siasat dulu,” katanya.

SINAR HARIAN

.