ANAK NAJIB, PERGILAH NASIHATKAN BAPA KAMU TERLEBIH DULU

Anak Najib Razak, Nazifuddin Najib hari ini tampil menasihatkan Tun Mahathir Mohamad agar kembali ke haluan yang dietapkan oleh datuknya, Allahyarham Tun Razak iaitu mempertahankan UMNO dan bukan menghancurkannya.

Kata beliau, Tun Razak membawa kembali Tun Mahathir menyertai UMNO setelah dipecat oleh Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj sebelum itu ialah untuk mengukuhkan dan mempertahankan parti itu, bukan bertindak sebaliknya.

Tun Mahathir, kembalilah ke pangkal jalan iaitu laluan yang Tun Razak telah rintis untukmu menjadi insan keempat berpeluang menjadi Perdana Menteri, kata Nazifuddin dalam catatan di Facebook miliknya.

Siapa pun yang membaca tulisan seorang anak ini pasti menyedari betapa terdesaknya Najib sekarang untuk menghadapi pilihanraya akan datang.

Tidak cukup dengan Najib sendiri membelasah dan menyindir Tun Mahathir, sekarang anak pula muncul meraih simpati dengan memainkan sentimen Tun Razak.

Bukan saja Najib sedar kuasanya sedang berada di hujung tanduk, malah anaknya sendiri seolah-olah dapat merasakan awan mendung sedang menyelubungi seluruh kepimpinan bapanya.

Bila pula Riza Aziz mahu tampil mempertahankan Najib?

Malangnya, sang anak ini terlalu naif agaknya untuk melihat realiti yang ada di depan matanya sendiri.

Kerosakan UMNO dan kerajaan hari ini seratus-peratus berpunca daripada bapanya sendiri, bukan disebabkan oleh Tun Mahathir.

Jika bapanya tidak dikuasai oleh Jho Low, tidak tebabit dalam skandal 1MDB, tiada kemasukan beribu-ribu juta ringgit wang ke dalam akaun peribadinya, saudara tirinya, Riza Aziz tidak tiba-tiba kaya dengan mampu menerbitkan filem dan membeli pelbagai hartanah mewah di luar negara, ibu tirinya Rosmah Mansor tidak bermewah dan membazir di sana sini, bukan saja Tun Mahathir, malah majoriti rakyat masih lagi menyokong UMNO dan kerajaan hingga ke hari ini.

Bapa kamulah Nazifuddin yang telah merosakkan UMNO dan negara ini.

Bapa kamu jugalah yang sebenarnya melencong jauh daripada asas dan laluan yang telah dibina oleh Tun Razak, manakala Tun Mahathir terpaksa bangkit semula daripada persaraannya semata-mata untuk menyelamatkan negara.

Malah, apa yang dibina oleh Tun Mahathir selama 22 tahun sehingga nama Malaysia harum di seluruh dunia, kini telah bertukar busuk dan bernanah akibat kerakusan bapa kamu itu.

Tun Razak diketahui umum hidup sederhana dan tidak bermewah, jauh sekali membazir, tetapi bapa kamu dengan keluarganya sekarang hidup ibarat langit dengan bumi daripada teladan yang pernah ditunjukkan oleh bapanya sendiri.

Dalam hal ini, jika Tun Razak masih hidup, adakah beliau gembira dengan kehidupan dan kelakuan anaknya itu atau akan menangis melihatnya?

Kepada Nazifuddin, sebelum kamu pergi terlalu jauh mahu menasihatkan Tun Mahathir agar kembali ke laluan yang pernah ditetapkan oleh Tun Razak, eloklah kamu nasihatkan bapa kamu sendiri terlebih dahulu.

Ingatkanlah bapa kamu tentang etika dan cara hidup Tun Razak sebelum meminta Tun Mahathir melakukannya.

Najib adalah darah daging Tun Razak, berapa peratus ciri-ciri kepimpinan dan gaya hidup Tun Razak masih mengalir dalam tubuhnya sejak beliau menjadi Perdana Menteri dan sejak berkawan dengan Jho Low?

Kepada Nazifuddin, pergilah ke Seri Perdana dahulu dan nasihatkanlah bapa kamu yang sedang menghancurkan UMNO dan negara ini agar kembali ke pangkal jalan dan banyak ingatkan Tuhan.

Jika kamu tidak berupaya pergi ke Seri Perdana untuk menyampaikan nasihat itu, tulis saja di Facebook atau Twitter, sama seperti kamu nasihatkan Tun Mahathir ini.

–¬†http://shahbudindotcom.blogspot.ae

.