ANAK NAJIB: KENAPA NAK TAKUT JIKA TAK SALAH

Anak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak – Nizar – tidak bimbang dengan tuduhan-tuduhan liar yang dilemparkan terhadap keluarganya kerana mereka di pihak yang benar.

“Bagi saya selagi kita berada di pihak yang benar dan tidak buat salah, saya rasa tidak ada apa-apa yang perlu kita takut,” kata Nizar pada satu sidang akhbar hari ini.

Beliau disoal bagaimana dirinya berdepan dengan serangan bertali-arus yang dilemparkan terhadap bapa dan keluarganya berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Walau bagaimanapun, Nizar berkata beliau percaya bahawa majlis di mana beliau menyampaikan ucapannya hari ini bukan forum yang sesuai untuk menjawap soalan itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan British Boarding School Show di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor menjadi sasaran kritikan dan bahan jenaka yang berterusan, khususnya di media sosial kerana dikaitkan dengan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dana awam

Anak tiri Najib, turut menjadi sasaran apabila beliau dinamakan dalam saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berhubung dana yang diselewengkan daripada 1MDB bersama jutawan kenalan keluarga itu, Jho Low.

Najib dan isterinya telah menafikan sebarang salah laku berkaitan dengan 1MDB serta menafikan bahawa mereka menyalahgunakan dana awam. Malah, Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali juga telah membersihkan daripada sebarang tuduhan.

MKINI

.