ANAK NAJIB HARAP DR M ‘KEMBALI KE PANGKAL JALAN’

Cucu Tun Abdul Razak Hussein hari ini meminta Tun Dr Mahathir Mohamad agar kembali kepada haluan yang ditetapkan perdana menteri kedua itu kepadanya iaitu mempertahankan Umno, bukan menghancurkannya.

“(Allahyarham) Tun Abdul Razak membawa Tun Mahathir kembali ke pangkuang Umno untuk mengukuhkan, mempertahankan dan menjulang Umno untuk menerajui Malaysia di persada dunia. Bukan untuk menghancurkan Umno.

“Tun Mahathir, kembalilah ke pangkal jalan iaitu laluan yang Tun Abdul Razak telah rintis untukmu menjadi insan keempat menjadi perdana menteri,” kata Datuk Nazifuddin Najib, anak kepada Datuk Seri Najib Razak, dalam kenyataan di Facebook.

Selepas dipecat daripada Umno pada 1969 kerana mengkritik Tunku Abdul Rahman, Abdul Razak membawa Mahathir kembali kepada parti itu selepas beliau menjadi perdana menteri.

Nazifuddin mengulas laporan Malaysiakini berkenaan isteri Mahathir, Tun Siti Hasmah Mohamad Ali yang menceritakan hubungan mereka dengan Abdul Razak.

Siti Hasmah mengenang kembali tentang Abdul Razak yang disayangi rakyat, termasuk beliau dan suami, dan ia dapat dilihat ketika ramai membanjiri Lapangan Terbang Subang bagi menyambut jenazahnya.

“Saya amat bersedih baginya, dan juga Tun Rahah (Mohammed Noah) yang menanggung penderitaan (ketika itu)…Dia seorang yang hebat dan Tun Rahah adalah wanita yang sangat berani,” katanya.

Abdul Razak menderita penyakit leukaemia dan meninggal dunia pada 14 Januari 1976 di London, ketika menerima rawatan.

Nazifuddin berkata beliau amat menghargai kata-kata Siti Hasmah itu.

Namun, beliau menyatakan kekecewaannya melihat serangan Mahathir terhadap bapanya, dan bekerjasama dengan DAP dan “menggadai maruah” hanya untuk kembali berkuasa.

Hidup umpama Abdul Razak

Katanya, zaman telah berubah dan begitu juga dengan kehendak dan kemahuan rakyat.

“Maka tiada sebab untuk Tun Mahathir terlalu marah dengan Najib melainkan terselit agenda tersirat seperti yang disebut sebahagian besar rakyat yang amat mengenali beliau,” katanya.

Beliau juga membangkitkan kembali tindakan Najib yang menyokong Mahathir ketika mempertahankan jawatan presiden Umno pada tahun 1987, yang membawa kepada pengharaman parti itu.

“Jika Tun Mahathir benar-benar menghargai dan mengenang jasa Tun Razak, lindungilah Najib sama seperti Najib melindungi beliau.

“Jika Tun Mahathir benar-benar menyayangi Tun Razak, biarlah hidup umpamanya; bersama Umno hingga ke nafas yang terakhir,” katanya lagi.

– M’kini

.