ANAK MUDA, MAHATHIR DAN GIE

Kira-kira seminggu lalu sebahagian daripada kita mengenang susuk lelaki bernama Gie.

Saban tahun, begitulah. Tarikh lahirnya mungkin kurang dikenang berbanding detik matinya. Dia tokoh muda yang memberi banyak kesan dan sekali gus enigma.

Gie – atau nama sebenarnya Soe Hock Gie – adalah watak seorang anak muda dan mahasiswa yang berdarah panas, berani dan bebas, selain penuh dengan rasa ingin.

Malam tadi sekumpulan anak muda membuka ‘gelanggang’ di premis Malaysiakini. Memang meriah jugalah.

Ada dua watak penting yang muncul. Seorang bekas perdana menteri yang pernah suatu ketika dulu cukup dibenci sebahagian rakyat, dan di sisi lain adalah anak-anak muda dan mahasiswa.

Seorang pendekar di atas pentas dan di belahan lain ada pula anak muda yang cuba menjadi hulubalang. Mereka dipertemukan oleh forum mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971.

Tokoh yang bertanggungjawab memperkenalkan akta membelenggu anak muda di menara gading itu – tidak lain dan tidak bukan – ialah Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tokoh itulah yang dibawa ke pentas untuk bercakap mengenai akta yang dibidaninya. Di forum terbuka begitu, memang seronoklah untuk sesiapa bertanya, menyergah atau berpolemik mengenai akta berkenaan.

Maka apa yang berlaku ialah, beberapa hulubalang cuba mencabar seorang tokoh politik veteran untuk berpencak.

Azam dan dendam

Gelanggang sudah ada dan bolehlah dianggap rata (sebab kedua-dua pihak boleh bebas bersuara), irama pula sudah kena (kerana isunya ialah Auku) dan senjata pula sama-sama dihunus (kerana sama-sama boleh berhujah).

Apakah yang membezakan dua sisi bertentangan itu? Jawapannya – pengalaman.

Siswa dan anak muda adalah orang yang penuh dengan keinginan, azam – dan dendam. Dr Mahathir pula adalah tokoh yang sinonim dengan politik.

Politik pula adalah seni tempur yang rencam dan perlukan kemahiran.

Di sana sini Dr Mahathir cuba dicalar, ditikam, ditendang dan digulingkan. Masalahnya orang tua itu bukanlah tokoh biasa-biasa. Ada kemungkinan politik Mahathir sudah bermula sejak ibu bapa siswa yang berpencak malam tadi itu belum berkenalan atau bercinta pun lagi.

Maka bagai seorang peserta pertandingan menembak skeet, bekas perdana menteri itu menembak hujah-hujah berkenaan satu demi satu. Kena tepat atau sekadar mencalarkan ‘clay’ itu adalah perkara kedua. Apa yang penting, ia ditembak.

‘Pemotong nafsu’

Dari satu sisi membawa Dr Mahathir ke pentas anak muda itu bagaikan sengaja meletakkan beliau untuk menjadi ‘punching bag’ semata-mata.

Namun sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman, terjahan yang disasarkan kepadanya dapat ditepis atau dikunci selepas bunga pencak dipersembahkan. Penamat bagi langkah itu ditandakan dengan tepuk tangan, ketawa atau senyum penonton.

“Tun, adakah anda menyesal memperkenalkan Auku?”

“Tidak.”

Itu adalah jawapan ‘pemotong nafsu’ yang muktamad kepada forum anjuran pertubuhan siswa Challanger malam tadi.

Namun bukan semua masa kedua-dua pihak berseteru. Sisi bekas perdana menteri dan anak muda itu dipertemukan oleh suatu hakikat – keadaan negara kini perlukan perubahan segera. Jika diandaikan sebagai suatu jasad bernyawa, masalah yang melanda adalah penyakit yang membarah dan mendekati mati.
Sesetengah daripada masalah itu mungkin berpunca daripada Dr Mahathir itulah.

“Nasib terbaik (untuk seseorang) adalah tidak dilahirkan, yang kedua, dilahirkan tetapi mati muda, dan yang tersial adalah umur tua,” kata Gie dalam salah satu catatan hariannya.

(Dan tanpa banyak disedari, selain seorang pendekar di tengah gelanggang itu, ada watak kedua yang tidak kurang pentingnya. Beliau ialah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali. Dia isteri kepada seorang perdana menteri yang berpengaruh. Namun statusnya itu disimpannya dengan kemas entah di mana. Kadang-kadang ia tidak disedari sesiapa pun. Memang begitulah seorang isteri perdana menteri sepatutnya.)

– M’kini

.