SHAH ALAM – DAP tidak pernah meminggir atau menganaktirikan anak Melayu yang menyertai parti itu.

Sebaliknya kata Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua, pihaknya memberikan kelayakan dan penghormatan sama rata antara anak Melayu dengan kaum lain yang turut menyertai parti tersebut.

“Penyertaan anak Melayu begitu menggalakkan sejak dua, tiga tahun lalu. Peluang untuk orang Melayu yang berkaliber sentiasa diberi oleh parti.

“Peluang dalam DAP (untuk semua orang) adalah cukup besar. Ia menunjukkan tiada diskriminasi antara kaum dalam parti,” katanya ketika ditemui Sinar Online, di Konvensyen DAP, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, katanya lagi, parti DAP sentiasa terbuka untuk menerima lebih banyak kemasukan anak Melayu dan juga kaum lain pada masa akan datang.

“Asalkan mereka nak masuk dalam parti dan berkaliber, mereka akan diberikan peluang untuk menonjolkan kebolehan mereka,” ujarnya lagi.
SINAR HARIAN
.