ANAK MELAYU ATEIS DIKECAM

SHAH ALAM – Tindakan sekumpulan anak Melayu beragama Islam menyertai kelab  yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan, Kelab Atheist Republic Kuala Lumpur dikecam banyak pihak.

Pegawai Khas Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor berkata, kewujudan golongan ini bukan sahaja memesongkan akidah umat Islam, tetapi melanggar prinsip Rukun Negara – Kepercayaan Kepada Tuhan.

Rizal berkata, laporan kewujudan golongan ini sesuatu yang mengejutkan, lebih-lebih lagi ada orang Melayu Islam yang secara terang-terangan menyertainya.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya kelab ini di Malaysia. Menyokong, menyertai atau berkempen untuk kelab ini merupakan satu pelanggaran kepada prinsip Rukun Negara dan seharusnya dikenakan tindakan,” katanya dalam Facebook beliau.

Program tahunan kelab itu didakwa diadakan secara tertutup di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Perkara itu turut disiarkan laman Facebook rasmi Atheist Republic dan berpangkalan di Kanada serta diasaskan oleh Armin Navabi, seorang lelaki kelahiran Teheran, Iran.

Apa yang lebih memeranjatkan, ada anak Melayu dengan bangganya menggelar diri mereka ‘bekas Muslim’ atau ‘ex-Muslim’.

Pada asasnya keanggotaannya tidak terbatas kepada mana-mana bangsa cuma syarat paling utama adalah, ahlinya perlu yakin bahawa Tuhan tidak wujud.

Justeru, Rizal mahu pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan keras terhadap penggerak serta pengikut pertubuhan ini.

“Kita perlu bertindak sebelum terlewat!” katanya.

Sementara itu Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Mohamad Raimi Abdul Rahim berkata, isu ini melibatkan akidah umat Islam terutama generasi muda.

“Trend ini banyak berlaku di barat apabila ramai memilih tidak percaya kepada Tuhan, tetapi di rantau ini, kita tahu masyarakatnya memang kuat beragama.

“Malah Rukun Negara kita meletakkan kepercayaan kepada Tuhan. Jadi, sebarang cubaan  mempromosikan sesuatu yang tidak percaya kepada Tuhan perlu dipandang secara serius,” katanya.

Menurutnya, siasatan dan tindakan perlu diambil, lebih-lebih lagi jika menular dalam kalangan orang Islam.

“Sekiranya ada usaha untuk mempengaruhi orang Islam yang diperuntukkan haknya dalam perkara 3 dan perkara 11 Perlembagaan Persekutuan, siasatan harus dijalankan.

Menurutnya, Abim bersedia mengadakan dialog dengan pihak berkenaan untuk memberi kefahaman lebih jelas mengenai isu akidah.

Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia, Datuk Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir pula berkata, penularan fahaman ateis mungkin berpunca daripada kuasa terhad pihak berkuasa agama untuk mengekangnya.

“Sebagai orang Islam, kita setuju sangat jika pihak terlibat diambil tindakan, tetapi sejauh mana kuasa pihak berkuasa agama kita?

“Pejabat-pejabat agama mungkin tahu kewujudan aktiviti sebegini, tetapi dari sudut penguatkuasaan agak sukar. Sebab itu, golongan ini semakin berani berkempen menyebarkan fahaman mereka,” katanya.

– SH

.