Anak luar nikah

Akta 355 yang dicadangkan oleh Hadi Awang bertujuan untuk mengukuh dan memberi lebih kuasa kepada Mahkamah Syariah. Inisiatif tersebut,  menurut   Datuk Profesor Mohamad Naser Disa dari  Institut Kajian  Strategik Islam Malaysia adalah  perlu kerana kerajaan Persekutuan enggan berbuat demikian.

Usul  itu, menurut beliau, akan meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah daripada had hukuman  sedia ada dan sekaligus  meningkatkan syiar  Islam. Beliau dengan bangganya memberitahu dalam  satu  forum bahawa pada tahun 2004, ketika beliau masih bertugas  di Jabatan Peguam Negara, telah mencadangkan untuk meningkatkan kuasa  Mahkamah Syariah dengan meminda Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) 1965, tetapi telah ditentang oleh BN.

Sekarang ini beliau  gembira kerana Presiden Pas telah bersetuju untuk membawa usul berkenaan ke Parlimen dan mengatakan sokongan daripada pemimpin-pemimpin UMNO, termasuk oleh Perdana Menteri adalah atas usaha yang telah dimainkan oleh Allahyarham Dr Harun Din.

Profesor  Datuk turut bersyukur kepada Tuhan kerana atas usaha Dr Harun Din, bukan saja Perdana Menteri, malah pimpinan bawahan lain turut  bersetuju untuk menyokong usul tersebut.

Beliau seterusnya bimbang dengan laporan yang mengatakan  terdapat lebih daripada 150,000 anak luar nikah yang perlu ditangani. Meskipun beliau tidak mengatakan  kanak-kanak ini adalah semuanya  beragama Islam, tetapi saya menganggap jika tidak demikian, Profesor Naser  dan Hadi Awang tidak mungkin ambil peduli tentangnya.

Di sinilah saya selalu keliru dengan keupayann pejuang Naser dan rakan-rakannya daripada Pas memahami sesuatu isu. Apakah kaitannya antara jumlah anak luar nikah yang tinggi dengan kuasa Mahkamah Syariah? Apakah yang undang-undang baru melalui usul yang dibawa oleh Hadi Awang dapat mengatasi masalah itu? Apakah menyumbat ibu kanak-kanak berkenaan ke penjara selama 10 tahun dapat menyelesaikannya? Peruntukan mana yang dirujuknya?

Menghantar ibu bapa yang melakukan hubungan terlarang ke penjara untuk tempoh yang panjang bagi menyelesaikan masalah anak luar nikah adalah jenis pemikiran Taliban yang akan menjadikan Islam begitu mundur di negara ini. Ia menunjukkan mereka hanya tahu menghukum dan beranggapan dengan berbuat demikian, semua masalah akan selesai.

Kita sudah ada hukuman mati serta penjara bagi kesalahan berkaitan dadah, namun masalah dadah tidak pernah selesai sehingga sekarang  Bolehkah Profesor Naser jelaskan  mengapa hukuman yang berat  tidak mampu menyelesaikan  masalah dadah tetapi memberi lebih banyak kuasa untuk meningkatkan hukuman penjara di Mahkamah Syariah mampu menyelesaikan masalah yang ada kaitan dengan seks?

Jika Profesor Naser dan pemimpin-pemimpin  Pas benar-benar mahu menangani isu anak luar nikah ini, mereka seharusnya mempelajari apa yang  berlaku  di Singapura. Mengapa Singapura seolah-olah tidak mempunyai masalah  berkaitan anak luar nikah?  Jawapannya ialah kerana Singapura lebih terbuka tentang seks, anak-anak mereka diberi pengetahuan awal tentang seks, mengenai hubungan seks yang selamat dan sebagainya.

Mereka juga membicarakan  tentang seks secara terbuka dalam keluarga serta  di sekolah. Mereka juga diajar tentang pergaulan yang sihat antara lelaki dan wanita serta mengenai tanggungjawab dengan  tujuan agar masalah  sosial seperti kehamilan tanpa perkahwinan dapat dikurangkan.

Tetapi di negara kita, pergaulan bebas  antara anak lelaki dan gadis remaja selalu mendapat halangan. Mereka ditangkap apabila berada di taman danwalaupun berpegangan tangan. Mereka tidak dibenarkan mempunyai hubungan sosial yang biasa sebagai  manusia dan  di mana masyarakat moden juga  membenarkannya. Jasi sudah ada aplikasi baru untuk membolehkan ramai lagi orang Melayu  dimalukan.

Itulah sebabnya negara ini sudah jadi  seperti Taliban. Apabila saja lelaki dan wanita muda ada kesempatan, mereka mudah terjerumus dalam seks. Mereka bukan saja melakukannya  tanpa kondom, bahkan tidak tahu apa itu kondom. Mereka melakukannya tanpa berfikir dan semata-mata atas naluri tulen. Sebab itu, banyak berlaku kelahiran anak luar nikah. Adakah Profesor Naser dan pemimpin-pemimpin Pas memahami masalah anak luar nikah ini  dengan sebenar-benarnya?

Saya tahu mereka akan mengatakan bahawa saya menggalakkan pergaulan bebas dan hubungan tidak bermoral dalam masyarakat. Mereka akan mengatakan saya sedang menggalakkan umat Islam untuk melakukan “dosa”. Sebenarnya  tidak. Saya hanya  mencadangkan bagaimana untuk mengurangkan kelahiran anak di luar nikah.

Dosa dan pahala  seseorang  bukan urusan saya, bukan juga urusan pemimpin Pas. Ia adalah hak seseorang itu untuk menguruskannya sendiri. Pemimpin Pas perlu terlebih dahulu menunjukkan rekod mereka berkaitan dosa dan pahala sebelum orang ramai  boleh mengakui kepakaran mereka  untuk bercakap mengenainya., dan menghukum orang lain.

Mereka tidak boleh menunjukkan sikap seolah-olah mereka bebas daripada dosa dan berhak untuk menghukum orang lain sepanjang masa. Mereka sebaliknya perlu membantu umat Islam yang lain dan tidak semata-mata ambil berat tentang dosa saja.

Apakah yang mahu  dilakukan untuk membantu 150,000 anak luar nikah itu? Adakah disediakan apa-apa bantuan kewangan dan sokongan emosi untuk membantu kanak-kanak malang itu?  Bagaimana pula dengan ibu-bapanya? Adakah  mereka yang telanjur ini akan menerima khidmat kaunseling daripada Pas? Atau mereka yang dianggap berdosa itu tidak layak dibantu, melainkan terus dihukum?

Saya menyeru umat Islam di negara ini supaya tidak terpedaya dengan pemimpin-pemimpin Islam yang hanya tahu untuk menghantar orang ke penjara, yang hanya memikir bahawa  dalam menyelesaikan masalah adalah dengan menjatuhkan  hukuman.

Mereka ini adalah pemimpin malas yang sebenarnya tidak ada niat untuk  membantu umat Islam  yang dalam kesusahan. Masyarakat moden  mempunyai lebih banyak  masalah sosial berbanding mereka yang tinggal di padang pasir terpencil di Arab Saudi. Itulah sebabnya sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab kita perlu tampil  dengan cara-cara baru untuk menangani masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat . Ia tidak lain memerlukan  pemikiran dan  sikap yang progresif.

– http://www.zaid.my/

.