ANAK-ANAK KARPAL TAK SEPENDAPAT DR M CALON PM

Anak perempuan mendiang Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo telah membangkitkan pendapatnya berkenaan Tun Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri pada pemukiman DAP baru-baru ini sebelum menulis pendapat itu di Facebook.

Menurut sumber, Sangeet menyatakan pendapatnya itu ketika perbincangan yang dipimpin Setiausaha Hal Ehwal Antarabangsa DAP Teo Nie Ching bersama panel pemimpin parti pusat yang turut dianggotai Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan Gobind Singh Deo yang juga merupakan abangnya.

Sumber turut berkata, sebagai menjawab Sangeet, Gobind menjelaskan alasan HARAPAN mengambil keputusan yang diumumkan pada Konvensyen Pakatan Harapan (HARAPAN) Ahad lalu.

“Pendiriannya (Gobind) berbeza dengan Sangeet,” kata sumber yang menjelaskan sesi perbincangan itu berlangsung tanpa sebarang drama malah Teo berjenaka untuk mereka menyambung perbincangan itu di rumah sekiranya masih ada kemusykilan.

“Sesi (perbincangan) itu berjalan lancar […] tak ada sesiapa keluar dewan atau seumpamanya. Dan Dr Mahathir hadir pemukiman itu jadi kami diberitahu kalau ada sebarang kemusykilan, boleh diajukan terus kepadanya.

“Namun isu itu (Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri HARAPAN) tidak dibangkitkan kepadanya,” kata sumber itu lagi.

Malaysiakini sudah menghubungi Gobind untuk meminta respons.

Ketika dihubungi, Sangeet mengesahkan beliau telah membangkitkan isu itu semasa pemukiman DAP dan “pendapatnya masih tidak berubah” meski selepas penjelasan Gobind.

Sangeet bagaimanapun enggan mengulas alasan tidak membangkitkan isu itu apabila Dr Mahathir tiba untuk menyertai pemukiman DAP itu.

“Pendirian saya tidak berubah,” tegasnya.

Awal hari ini, Sangeet memberitahu Malaysiakini bahawa beliau percaya sekiranya ayahnya masih hidup, ayahnya tidak akan setuju dengan keputusan HARAPAN menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri.

Kenyataan Sangeet di Facebook itu turut menarik reaksi Anggota Parlimen Gelugor Ramkarpal Singh yang juga merupakan abangnya yang mengecam pengkritik yang tidak puas hati dengan pendirian Sangeet.

“Perkara biasa jika mempunyai kesangsian terhadap Dr M sebagai perdana menteri. Saya juga telah menyatakan hal yang sama dulu.

“Mereka yang ada kesangsian, termasuk Sangeet, tidak seharusnya dikecam atas pendapat mereka kerana mereka juga ada hak untuk menyatakan pendapat,” kata Ramkarpal melalui Facebook.

Antara lain, Sangeet berkata tindakan HARAPAN itu menunjukkan tumpuan mereka dari dasar pembangunan dan prinsip telah tersasar untuk bergantung kepada personaliti.

Sangeet turut berkata hujah HARAPAN bahawa bekerja dengan Dr Mahathir hanya untuk memastikan perubahan tidak boleh diguna kerana ia mungkin menyaksikan dasar-dasar yang menindas seperti yang pernah dilaksanakan Dr Mahathir semasa menjadi perdana menteri dikembalikan semula.

– M’kini

.