AMK: PENYOKONG PEMBANGKANG MUAK PERCAKARAN DALAMAN

Para penyokong pembangkang sudah muak dengan ketidakmampuan untuk menyelesaikan perbezaan antara mereka, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad.

“Suka atau tidak, pastilah majoriti pengundi yang memilih memberi harapan kepada kita semasa pilihan raya umum ke-13 berasa kecewa, marah dan tidak berpuas hati dengan pelbagai perkembangan yang ada di kalangan parti pembangkang.

“Mentaliti kepembangkangan kami yang masih tebal menyebabkan kita gagal menguruskan tidak mampu untuk menguruskan perbezaan secara matang, sekali gus memberi tanggapan umum seolah-olah kita tidak bersedia untuk mentadbir,” kata Nik Nazmi.

Beliau menegaskan demikian dalam ucapan dasar Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Shah Alam hari ini.

Pembangkang telah dibelenggu dengan percakaran dalaman sejak 2015, yang terbaru tindakan PAS untuk memutuskan hubungan politik dengan PKR.

Nik Nazmi juga memetik peringatan ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa rakyat Malaysia tidak bodoh.

“(Rakyat Malaysia) mahu berubah dan pergeseran antara parti-parti pembangkang, malah sesama pemimpin di dalam parti, tidak membantu mereka meyakini bahawa perubahan boleh berlaku, dan sekiranya berlaku, menjadi lebih baik,” katanya.

– M’kini

.