AMK, ARMADA TUNTUT HUSNI MINTA MAAF ATAU DEBAT

IPOH – Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Armada memberi kata dua kepada Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sama ada memohon maaf atau berdebat secara terbuka bagi menyelesaikan isu liwat yang dibangkitkan minggu lalu.

Ketua AMK Perak, Mohd Azlan Helmi mencabar beliau mengeluarkan kenyataan sama di luar parlimen selain menunjukkan bukti berhubung tuduhan yang dilemparkan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, tindakan Ahmad Husni yang membuat pusingan 180 darjah selepas mendedahkan 1MDB tahun lalu kini beralih arah dan menjadikan Penasihat PKR itu sebagai mangsa.

“Ahmad Husni tidak suka difitnah tetapi kini dia pula yang melakukan fitnah. Tindakan ini tidak bermoral dan bukannya integriti seorang ahli Parlimen.

“Kita beri Ahmad Husni 10 hari untuk memberi maklum balas terhadap isu ini. Jika keadaan masih berlarutan, kami sedang merancang untuk tindakan selanjutnya,”  katanya kepada Sinar Harian.

Hadir sama, Adun Simpang Pulai, Tan Kar Hing, Ketua Armada perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh dan Naib Ketua AMK Perak, Khairul Anuar Musa.

Terdahulu, sebahagian ahli AMK dan Armada berarak sambil melaungkan ‘Husni Penipu, Husni Pembohong’ sepanjang 100 meter di Persiaran Kuala Kangsar 1 sehingga ke pejabat Ahli Parlimen berkenaan untuk menyerahkan surat menuntut permohonan maaf.

Mohd Azlan mengakui agak kecewa kerana keempat-empat wakil mereka tidak dibenarkan menghantar  surat tersebut dan hanya membenarkan seorang sahaja.

“Saya kesal dan kecewa diperlakukan sedemikian bagaimanapun kami berharap surat yang dihantar itu akan sampai kepada Ahmad Husni supaya isu itu dapat diselesaikan segera,” katanya.

– Sinar Harian

.